Total Pageviews

Monday, April 6, 2009

Pilihan raya kecil referendum untuk Najib

Mohamed Hanipa Maidin

SEHARI sebelum hari penamaan calon, saya mendengar laporan berita di radio yang memuatkan kata-kata Najib Abdul Razak bahawa keputusan pilihan raya kecil di Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai bukan melambangkan suara rakyat.
Kata-kata Najib boleh ditafsirkan seperti berikut. Pertama, Najib cuba menggunakan taktik 'reverse psychology' iaitu beliau dengan sengaja mahu membuatkan Pakatan Rakyat terlalu yakin akan menang dan seterusnya leka dan lalai dengan keyakinan tersebut.
Kedua, ia juga satu persediaan awal Najib menerima kekalahan BN di ketiga-tiga kawasan tersebut. Melihat kepada senario semasa, tafsiran kedua nampaknya lebih munasabah.
Bagi Pakatan Rakyat adalah jelas bahawa pilihan raya kecil ketiga-tiga kawasan tersebut adalah satu referendum (pungutan suara) terhadap kepimpinan Najib yang akan mengambil alih teraju pemerintahan daripada Abdullah Ahmad Badawi.
Najib adalah pemimpin yang sarat dengan pelbagai kontroversi. Sudah tentu kontroversi paling besar adalah isu Altantuya. Jika isu Altantuya berlaku di negara lain pemimpin seperti Najib bukan sahaja tidak akan menjadi Perdana Menteri malahan jawatan Timbalan Perdana Menteri yang beliau pegang juga akan hilang.
Najib agak nasib baik kerana dilahirkan di Malaysia dan ditakdirkan ada di dalam Umno. Jika beliau lahir di Thailand, sudah lama beliau terpaksa lari dari sebuah negara ke sebuah negara seperti yang berlaku pada Thaksin sekarang.
Kereputan sistem kehakiman menyebabkan bukan sahaja Najib terselamat daripada prosiding di mahkamah, malah pembantu khasnya, Abdul Razak Baginda juga terselamat.
Meskipun Najib selamat, 'hantu' Altantuya akan terus menerus mengganggu Najib di mana-mana dan pada bila-bila masa. Gangguan pertama 'hantu' Altantuya datang dari Perancis. Akhbar Liberation secara terperinci cuba menggambarkan apa yang berlaku dalam kes Altantuya.
Memandangkan apa yang diceritakan oleh akhbar tersebut adalah menyentuh bakal Perdana Menteri Malaysia, adalah menjadi tanggungjawab Najib untuk membersihkan namanya daripada tuduhan serius tersebut.
Najib wajib menyaman akhbar tersebut. Kegagalan Najib menyaman bermakna Najib seolah-olah mengakui bahawa berita tersebut adalah benar dan bukannya fitnah.

Oleh kerana ia benar, bagaimanakah Najib boleh, dengan tanpa harga diri dan bermaruah, bersedia menerima pencalonan menjadi Presiden Umno dan seterusnya menggantikan Abdullah sebagai Perdana Menteri? Kegagalan Najib menyaman akhbar Liberation tersebut akan pasti dihukum oleh rakyat di Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai.
Kes Altantuya bukan sahaja melibatkan isu pembunuhan ngeri seorang wanita cantik dengan bom C4 tetapi ia juga berkaitan rapat dengan isu rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Kini semua orang tahu pada tahun 2002, Kementerian Pertahanan yang diterajui Najib telah membeli tiga kapal selam yang bernilai RM4.5 bilion melalui syarikat yang dikuasai oleh kawan rapat Najib dan juga penganalisis politik, Abdul Razak Baginda.
Dilaporkan Razak telah dibayar RM530 juta sebagai komisyen. Teori bahawa pembunuhan Altantuya mempunyai kaitan rapat dengan isu komisyen kapal selam ini amat sukar ditolak kecuali oleh mereka yang dungu. Najib juga tidak boleh lari daripada isu pembelian jet pejuang Sukhoi 30-MKM bernilai RM3.2 bilion yang dibeli oleh Kementerian Pertahanan yang diterajuinya.
Pembelian Sukhoi dari Rusia pada tahun 2003 adalah berkait rapat dengan penghantaran angkasawan Malaysia yang pertama yang telah menelan belanja duit rakyat sebanyak RM90 juta. Rakyat di ketiga-tiga kawasan pilihan raya kecil juga tidak akan melupai isu kelewatan penghataran enam kapal peronda sisir pantai (six offshore patrol vessels) yang juga melibatkan kementerian yang diterajui Najib.
Kelewatan tersebut mengakibatkan nilai kontrak melonjak secara mendadak daripada RM4.9 bilion kepada RM 6.75 bilion. Yang lebih menarik lagi dokumen-dokumen yang berkaitan transaksi tersebut dilaporkan hilang pada bulan Sepetember 2008.
Mungkin Najib layak digelar 'David Copperfield Malaysia' kerana setiap kali beliau didakwa terlibat banyak 'makhluk' yang hilang, antaranya Altantuya, Balasundram, Adun Behrang dan Adun Changkat Jering.
Jangan lupa dokumen imigresen keluar masuk Altantuya ke negara ini juga hilang! Pilihan raya kecil ini juga satu pungutan suara rakyat berkaitan dengan tindakan Najib menyekat kebebasan bersuara. Rakyat yang dahagakan maklumat alternatif daripada Harakah dan Suara Keadilan pasti akan menghukum Najib dan partinya kerana menggantung akhbar tersebut.
Penggantungan Harakah dan Suara Keadilan, selama tiga bilan, menunjukkan Najib tidak bersedia menerima suara yang menentang beliau. Dengan lain perkataan Najib adalah kuku besi dan musuh demokrasi.
Demokrasi meminta parti�parti yang bertanding di dalam pilihan raya sepatutnya bertanding di padang yang sama rata. Jika kita boleh mengibaratkan demokrasi sebagai perlumbaan kuda kedua-dua BN dan Pakatan Rakyat sepatutnya dibekalkan dengan kuda jika hendak berlumba kuda.
Najib sebaliknya hanya membenarkan BN menunggang kuda dan melarang Pakatan Rakyat menggunakan mana-mana kuda dalam pertandingan lumba kuda! Bagi rakyat Perak khususnya, pilihan raya kecil di Bukit Gantang adalah peluang untuk mereka menghukum Najib di atas rampasan kuasa yang tidak sah yang dilakukan oleh Najib.
Bagi rakyat Perak, Najib adalah pencetus keadaan kelam-kabut yang berlaku di negeri itu sekarang. Apabila Zambry Abdul Kadir dan anggota exconya sehingga kini sukar hendak melaksanakan tugasnya kerana dihalang oleh undang-undang dan Speaker Pakatan Rakyat yang masih sah, Najib guna (baca salah guna) segala-galanya daripada Istana, SPR, Polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah, Penasihat Undang-Undang Negeri Perak dan mahkamah hanya untuk berlawan dengan seorang Speaker.
Bagi umat Islam pilihan raya kecil ini juga adalah satu hukuman ke atas Najib di atas kenyataan tidak bertanggungjawabnya dalam isu Sekolah Agama Rakyat (SAR) suatu masa dahulu.
Kita tentu tidak lupa Najib pernah membuat kenyataan yang amat tidak bertanggungjawab di Filipina dengan menyatakan SAR diharamkan di Malaysia kerana ia adalah pusat melatih pengganas.
Razak Baginda sebagai Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Strategi Malaysia (MSRC), pula menyatakan bahawa murid SAR berpotensi direkrut menjadi pengganas (lihat Berita Harian, 16 Januari 2003).
Komen celupar kedua-dua insan ini terhadap SAR telah sedikit sebanyak meletakkan mereka dalam situasi yang amat merumitkan mereka. Ingatlah Najib doa-doa orang yang dizalimi tiada sebarang hijab._

Sumber:Harakahdaily.Net

What Is International Studies?

International Studies is an interdisciplinary major in the College of Arts and Science requiring 30 credits. It draws from Political Science, History, Economics, Foreign Language, and other areas of study, to provide students with a lens for understanding our complex and ever changing world. Our International Studies program emphasizes developing cross-cultural perspectives and helps students develop skills necessary for careers in today’s market. Major requirements are broadly constructed and flexible to allow students to pursue their interests within our framework. Students have the opportunity to study with faculty from a variety of departments, find internships, and even study abroad.

Source: IONA College
Department of Political Science.

PERUTUSAN SEMPENA PENERIMAAN JAWATAN PERDANA MENTERI MALAYSIA KE-6 PADA 3 APRIL 2009

PERUTUSAN SEMPENA PENERIMAAN JAWATAN
PERDANA MENTERI MALAYSIA KE-6
3 APRIL 2009

Bismillahirrahmanirrahim

1. Bagi pihak seluruh Rakyat Malaysia, pertama sekali saya merakamkan rasa penghargaan dan ucapkan terima kasih kepada YABhg. Tun Abdullah Ahmad Badawi atas sumbangan khidmat cemerlang sepanjang 31 tahun kepada negara. Begitulah juga komitmen YABhg. Tun dalam pengukuhan demokrasi dan institusi penting dalam negara, serta teladan kepemimpinan yang cukup berhikmah.

2. Secara peribadi, saya amat berterima kasih atas keyakinan YABhg. Tun Abdullah menamakan saya sebagai penggantinya. Saya juga merakamkan ucapan junjungan kasih setinggi-tingginya atas perkenan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong melantik saya sebagai Perdana Menteri dalam istiadat mengangkat sumpah jawatan pagi tadi.

3. Dengan penuh rasa tawaduk dan kerendahan hati, saya menerima amanah tanggungjawab ini untuk berkhidmat kepada Rakyat dan Negara.

4. Sesungguhnya seawal usia yang masih muda, dan sepanjang hidup dewasa, telah saya abdikan berkhidmat untuk rakyat. Semua ini lahir hasil dari inspirasi dan dorongan serta suri teladan Allahyarham Ayahanda saya. Memang saya tersentuh dan terpanggil untuk meneruskan agenda besar kerajaan untuk membasmi kemiskinan, menstrukturkan semula masyarakat Malaysia, meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti untuk semua, serta meniupkan semangat sebuah generasi baru untuk menumpah khidmat kepada Malaysia.

5. Justeru itulah, sepanjang khidmat awam saya, pentingnya aspek keberhasilan sentiasa ditekankan. Sama ada melalui kemudahan yang lebih selesa bagi para pendidik, meningkatkan kualiti hidup para perwira tanah air, mahupun dalam memperkasakan ekonomi bagi memelihara kesejahteraan rakyat di saat kita menghadapi cabaran ekonomi global.

6. Dalam waktu terdekat ini, saya akan bertukar-tukar pendapat dengan pelbagai lapisan pemimpin masyarakat dari seluruh negara dalam menentukan keutamaan kerajaan.

7. Dalam hal ini, saya amat menyedari bahawa kita perlu mengambil manfaat dari kejayaan kini dan beriktibar pula dengan pengajaran masa lalu.

8. Pada asasnya, kepimpinan yang bakal diwujudkan wajar membawa pendekatan baru, bagi menempa sebuah zaman baru, demi menjelmakan sebuah kerajaan yang mengutamakan prestasi berpaksikan keutamaan rakyat.

9. Rakyat diutamakan akan merentasi seluruh lapisan masyarakat dan kumpulan etnik di setiap pelosok tanah air. Tidak ada sesiapa yang patut merasakan diri mereka tercicir atau terpinggir daripada wacana nasional. Kita akan rapatkan hubungan Rakyat dan Kerajaan dari dikelirukan dan diperdaya oleh permainan muslihat politik.

10. Dalam hal ini, potensi golongan anak muda akan kita bangunkan setinggi-tingginya. Kita percaya merekalah generasi pewaris bakal pendidik, doktor, peguam, akauntan, saintis, jurutera, tokoh perniagaan, cerdik pandai dan saf pemimpin masa depan.

11. Maka dengan itu, pada hari yang bersejarah ini saya berikrar untuk bekerja tanpa mengenal erti jemu atau penat lelah, berkhidmat dan membela untung nasib rakyat.

12. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini mengumumkan bahawa pihak kerajaan akan menarik balik larangan penerbitan sementara bagi DUA surat khabar serta membebaskan TIGABELAS tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) berkuat kuasa serta-merta. Proses kajian semula terhadap Akta ISA akan juga dimulakan.

13. Saya sedar sudah tepat masanya kita mengambil langkah-langkah demikian untuk mengukuhkan lagi keyakinan rakyat terhadap pihak yang berwajib atas soal keselamatan negara serta mengembalikan keutamaan kita untuk menangani ancaman-ancaman yang dianggap merbahaya dan munasabah. Kementerian Dalam Negeri akan memberikan butir-butir selanjutnya selepas ini.

14. Atas segalanya, saya menyedari bahawa sekarang adalah masa yang cukup mencabar bagi setiap warga. Saya komited memastikan kepimpinan terus berdiri teguh bagi menghadapi krisis ekonomi yang kini melanda seluruh dunia termasuk di negara kita. Saya akan tetap berpegang kepada iltizam untuk memenuhi keperluan, kepentingan dan aspirasi setiap warga Malaysia.

15. Dengan ini saya mengajak seluruh warga untuk sama-sama melaksanakan satu transformasi besar buat Negara dengan semangat: Satu Malaysia. Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan.

Saya panjatkan doa ke hadrat Ilahi supaya terus dikurniakan kekuatan, kemudahan serta hikmah dalam menjalankan amanah besar ini.

Dengan izin Allah jua, marilah kita memulakan langkah perjalanan hebat ini - bersama sama.

Pembaziran: Satu Tindakan 'Mudarat' Dalam Ekonomi

Oleh Zulkiple Ibrahim

KUALA LUMPUR, 2 April (Bernama) -- "Bagi Islam pembaziran adalah sesuatu yang boleh membawa kepada kemudaratan terhadap mereka yang mempunyai harta benda serta masyarakat di mana mereka tinggal".

Itu adalah satu petikan daripada artikel 'Pendekatan Islam Kepada Keadilan Ekonomi' oleh Timbalan Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Nik Mustapha Nik Hassan yang dihantar kepada Bernama baru-baru ini.

Menurut Nik Mustapha, pembaziran dan kesilapan dari segi penggunaan sumber-sumber yang ada merupakan tindakan yang boleh dianggap sebagai ketidakadilan ekonomi atau 'dzulm' dalam Islam.

Pembaziran di sini bermakna mengambil langkah-langkah yang mendatangkan perbelanjaan yang tidak diperlukan serta tidak efisyen dalam aktiviti pengeluaran.

Beliau menulis bahawa pembaziran merupakan satu perkara 'buruk' yang perlu ditolak oleh masyarakat untuk mengelak kesan negatif daripada amalan sedemikian.

Bagi Nik Mustapha pembaziran adalah satu penyakit bagi seseorang individu tetapi bila kebanyakan atau seluruh daripada masyarakat bersifat sedemikian dan tidak berusaha untuk mengelak daripada gejala ini, maka ianya akan bertukar kepada satu faktor yang negatif terhadap pembentukan dan pembangunan masyarakat tersebut .

TIDAK EFISYEN DALAM EKONOMI

Menurut beliau, kegagalan untuk mencapai tahap efisyen seperti dalam mengenalpasti serta menyelaras sumber yang ada boleh menyumbang kepada ketidakadilan dalam ekonomi.

Memperoleh kecekapan untuk pengurusan yang baik serta efisyen bagi sumber-sumber negara adalah selari dengan konsep dan semangat keadilan.

Bagi Nik Mustapha, kebebasan untuk membuat keputusan dan melibatkan diri dalam kegiatan ekonomi yang dipelopori prinsip-prinsip agama adalah satu pra-syarat terhadap keadilan ekonomi.

Islam juga menghormati hak bagi setiap orang dalam negara Islam untuk mendapat 'privasi' atau bebas daripada sebarang gangguan terhadap hak dan suasana peribadi mereka.

Ini ada dinyatakan dalam Al-Quran (Al-Baqarah: 188) yang bermaksud: "Jangnlah mengambil hak orang lain menerusi cara yang salah serta curang".

Oleh itu keadilan memerlukan sistem sosial yang menepati kehendak individu dan memuaskan keperluan tersebut.

Sekurang-kurangnya ini tidak akan memudaratkan masyarakat itu, tulis Nik Mustapha.

KEDUDUKAN KERAJAAN

Dari awal lagi, Islam memperakui kedudukan kerajaan dalam pengurusan ekonomi.

Dalam setiap masyarakat yang tersusun, perlu adanya satu badan berkuasa untuk menyelaras dan memberi halatuju ekonomi. Fungsi kerajaan adalah untuk menjamin pencapaian ekonomi yang stabil.

Menurut Nik Mustapha fungsi-fungsi adalah selari dengan apa yang dikehendaki konsep keadilan ekonomi.

Bagaimanapun, kerajaan diperlukan menanggung perbelanjaan untuk menampung fungsi-fungsi ini. Sesetengah daripada perbelanjaan ini disyaratkan oleh Syariah secara kekal seperti perbelanjaan untuk pengurusan pentadbiran, undang-undnag serta ketenteraman, pertahanan negara, dakwah dan penyebaran agama Islam dan yang lain.

Untuk menampung perbelanjaan ini, kerajaan dikehendaki mengadakan satu sistem pendapatan yang selari dengan kehendak keadilan.

Zakat merupakan bentuk bayaran minimum yang boleh dikenakan kepada orang Islam secara kekal.

Tambah Nik Mustapha, pendapatan adalah terhad tetapi ianya boleh digunakan untuk mengatasi masalah kemiskinan, kesusahan ekonomi serta penyebaran agama dan pertahanan.

CUKAI

Tulis Nik Mustapha lagi, di mana perlu, kerajaan boleh mengenakan cukai.

Tetapi kadar cukai yang terlalu tinggi akan mengurangkan pendapatan boleh guna sektor swasta dan penurunan dari segi pendapatan di sektor ini boleh menyebabkan kurangnya pilihan sektor tersebut untuk bertindak dan bergerak secara bebas.

Memang diketahui umum penurunan kadar cukai akan menaikkan pendapatan kerajaan dari cukai.

Bila ekonomi sektor swasta meningkat dan berkembang, tapak serta landasan asas untuk pencukaian akan juga berkembang dan akan meningkatkan lagi kutipan dan pendapatan kerajaan daripada cukai-- BERNAMA

Dua Bukit Satu Batang

salam semua.
jgn fikir yang bukan-bukan ye bila baca tajuk ni,
ianya adalah berkaitan dengan pilihanraya kecil di Bukit Gantang,Bukit Selambau, dan Batang Air..
Esok 7 April 2009, akan berlansungnya pilihanraya kecil bagi ketiga-tiga DUN ini. Sekali lagi rakyat di ketiga-tiga tempat ini dilayan umpama raja,ya.. hanya sekali sahaja,sewaktu hari mengundi sahaja.
Diharapkan rakyat disini dapat berfikir dengan rasional ketika memilih calon sewaktu berada di kotak 'pangkah',bagi pengundi Islam,carilah seorang pemimpin yang setiap perkataan dan perbuatannya bermula dengan ucapan 'Bismillah',walaupun beliau tiada karisma dan 'bertokoh' kata orang Kedah.
Pilihanraya ini dilihat begitu signifikan dengan Datuk Seri Najib Tun Razak, yang baru sahaja mengankat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-6, pilihanraya ini dilihat sebagai satu referundum untuk menunjukkan sokongan kepada beliau sama ada di terima atau tidak oleh rakyat. Begitu juga di Perak,DUN Bukit Gantang, dilihat sebagai pengukur kepada sokongan rakyat sama ada kepada Kerajaan Dr Zambri ataupun kepada IR Nizar Jamaludin.
Sama-sama lah kita tunggu keputusan esok.
Akhir kata,selamat 'memilih' saya ucapkan kepada rakyat di ketiga-tiga DUN ini..ingatlah,kita golongan marhaen,para petani,nelayan,pekebun dan peniaga kecil,buruh kontrak,penternak dan penganggur,kita adalah raja,'RAKYAT HAKIM NEGARA'.
Kearah 1 MALAYSIA YANG ADIL,BEBAS,SAKSAMA DAN SEJAHTERA'.