Total Pageviews

Sunday, September 2, 2012

DASAR PERTANIAN NEGARA

.  Sektor pertanian telah memainkan peranan penting di dalam pembangunan sosial dan ekonomi Malaysia. Di peringkat awal, penanaman tanaman makanan seperti padi, sayur-sayuran, buah-buahan serta kegiatan menangkap ikan dan menternak telah menyediakan sumber makanan, mewujudkan peluang pekerjaan dan pendapatan pada penduduk-penduduk tempatan. Kegiatan pertanian pada masa itu adalah pertanian sara diri dan tradisional. Tanaman industri iaitu getah mula diperkenalkan pada tahun 1887 apabila benih getah ditanam di Kuala Kangsar, Perak. Penubuhan Institut Penyelidikan Getah pada tahun 1926 telah mengorak langkah menjadikan Malaysia sebagai pengeluar utama getah asli di dunia untuk beberapa abad sehinggalah akhir tahun 1980an. Tanaman kelapa sawit mula diperkenalkan dan dimajukan pada awal 1960an diikuti dengan koko pada tahun 1970an. Seterusnya penubuhan Institut Penyelidikan Kelapa Sawit (PORIM) pada tahun 1979 telah menjadikan kelapa sawit sebagai satu tanaman strategik kepada ekonomi Malaysia. Sumbangan terhadap Keluaran Kasar Dalam Negara (KDNK) telah meningkat kepada RM6.8 bilion pada tahun 1995, berbanding RM3.6 bilion pada tahun 1985 iaitu peningkatan sebanyak 5.6 peratus. Jumlah kawasan tanaman sawit telah meningkat daripada 1.5 juta hektar pada tahun 1985 kepada 2.5 juta hektar pada tahun 1995. Penubuhan Lembaga Koko Malaysia pada tahun 1988 untuk menjalankan penyelidikan mengenai pengeluaran pemerosesan, penyimpanan dan penggunaan mengukuhkan lagi kedudukan tanaman koko sebagai tanaman selingan dalam sektor pertanian Malaysia.
2.  Penubuhan institusi-institusi pembangunan kawasan, penyatuan dan pemulihan tanah seperti FELDA, FELCRA, RISDA dan agensi-agensi pembangunan wilayah telah mempergiatkan lagi pembukaan tanah baru untuk tanaman industri di samping mencapai matlamat membasmi kemiskinan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Sementara itu, penubuhan agensi-agensi khusus seperti FAMA(1965), Bank Pertanian Malaysia (BPM) (1969), MARDI (1969), Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) (1971), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) (1971), Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) (1970), Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) (1972), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) (1973) dan beberapa agensi yang lain telah menyediakan kemudahan pemasaran, penyelidikan, kredit dan khidmat sokongan kepada kumpulan sasar dan mempergiatkan lagi pembangunan sektor pertanian.
3.  Semenjak pertengahan tahun 1980an, Malaysia telah mengalami pertumbuhan ekonomi yang amat pesat sekali di mana ia telah mencapai pertumbuhan KDNK melebehi 8 peratus setahun selama sembilan tahun berturut-turut. Pertumbuhan yang pesat ini yang telah diterajui oleh sektor pembuatan dan perkhidmatan sementara sektor pertanian telah mengalami kadar pertumbuhan yang kecil dan sederhana 2-3 peratus setahun. Pada tahun 1987 sektor pembuatan telah mengatasi sektor pertanian dari segi sumbangan kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK), peluang pekerjaan dan pendapatan eksport akibat daripada dasar menggalakkan perindustrian.
4.  Sejak pelaksanaan DPN1 mulai 1984 dan DPN2 mulai 1992, sektor pertanian telah mencatat kadar pertumbuhan purata tahunan sebanyak 3.2%. Jumlah nilai-ditambah pertanian telah meningkat dari RM11.9 bilion pada tahun 1985 kepada RM16.2 bilion pada tahun 1995. Nilai eksport barangan pertanian pula telah meningkat daripada RM 13.9 bilion tahun 1985 kepada RM 35.4 bilion pada tahun 1995 yang merupakan pertumbuhan purata tahunan sebanyak 9.8%. Sungguhpun demikian, perkembangan pesat dalam ekonomi sejak tahun 1991 dan kegawatan ekonomi yang dihadapi sekarang telah menimbulkan cabaran baru dalam pengurusan sektor pertanian. Cabaran tersebut melibatkan masalah dan kekangan yang lazimnya berhubungkait dengan ekonomi yang berkembang pesat secara berterusan, terutamanya ekonomi yang mencapai tahap gunatenaga penuh serta menghadapi masalah defisit imbangan perdagangan. Di antara cabaran-cabaran baru yang dihadapi oleh sektor pertanian adalah seperti berikut:-
  1. Keperluan untuk menjamin bekalan makanan yang mencukupi, selamat, berkhasiat serta bermutu tinggi pada harga yang berpatutan.





ii. Keperluan untuk mengurangkan penggunaan buruh dalam kegiatan pertanian.
iii. Keperluan untuk memaksimakan penggunaan sumber-sumber terhad yang sedia ada seperti tanah dan air.
iv. Keperluan untuk memperkukuhkan daya saingan sektor pertanian negara.
v. Keperluan untuk meningkatkan pelaburan swasta dalam pengeluaran makanan.
vi. Keperluan untuk merubah sektor pekebun kecil .
vii. Keperluan untuk menyokong perindustrian negara dan pelaburan luar negara.
viii. Keperluan bagi memastikan pembangunan pertanian dan perhutanan yang mampan.


5.   Untuk menghadapi cabaran-cabaran tersebut dasar pertanian negara yang baru (DPN3) telah digubal bagi menjamin pembangunan pertanian dan perhutanan yang dapat disesuaikan dengan perkembangan-perkembangan terbaru yang berlaku di dalam dan di luar negara. Strategi pembangunan sektor pertanian dan perhutanan disepadukan untuk mengatasi masalah kekurangan sumber, terutamanya tanah dan buruh: menggalakkan petani-petani mengamalkan teknik-teknik pertanian moden melalui sistem bersepadu yang menggabungkan tanaman, perikanan dan ternakan serta dilengkapi dengan aktiviti agropelancongan.
6.   Di samping itu, dasar-dasar bagi pengurusan ekonomi makro sektor-sektor lain perlu diambilkira bagi mempastikan dasar pertanian adalah konsisten, melengkapi, relevan dan selari dengan dasar-dasar pembangunan yang dilaksanakan oleh pelbagai Kementerian. Dasar-dasar tersebut ialah dasar perindustrian, sains dan teknologi, kepelbagaian biologi dan alam sekitar. DPN3 melengkapkan pendekatan pembangunan berkelompok industri berasaskan pertanian yang telah dikenalpasti dalam Pelan Induk Perindustrian 2 (1996-2005) melalui pengukuhan pertalian dalam dan antara sektor ekonomi yang akan merangkumi pembangunan dan peluasan industri sokongan dan perantaraan. Pembangunan industri baru seperti bioteknologi, produk kimia semulajadi yang dihasilkan daripada sumber biologi dan produk biomass kelapa sawit adalah selaras dengan dasar pembangunan sains dan teknologi. Strategi untuk pemuliharaan sumber biologi dan semulajadi seperti hutan, marin dan air pula akan memenuhi kehendak dasar kepelbagaian biologi dan alam sekitar. Rantaian pertanian dengan sektor industri dan penekanan kepada pemuliharaan sumber semulajadi akan mengukuhkan lagi sektor pertanian dan menjamin pembangunan mampan. Oleh itu, DPN3 telah digubal dengan tujuan menjadikannya satu dasar yang komprehensif, melengkapi dasar-dasar yang lain (complementary), pragmatik serta fleksibel.

Dasar Pertanian Negara Ketiga (DPN3), 1998-2010

7.  Objektif utama DPN3 adalah untuk memaksimakan pendapatan melalui penggunaan sumber secara optima dalam sektor ini. Ia meliputi usaha memaksimakan sumbangan sektor pertanian kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), pendapatan eksport serta pendapatan petani, penternak dan nelayan. Secara spesifik, objektif DPN3 adalah untuk:
i Meningkatkan sekuriti makanan (food security)
ii Meningkatkan produktiviti dan daya saing sektor pertanian
iii Mengukuhkan pertalian dengan sektor-sektor lain
iv Mewujudkan sumber pertumbuhan yang baru untuk sektor pertanian
v Memulihara dan menggunakan sumber-sumber asli secara mampan
8.   Semua ini memerlukan pendekatan dan teras strategik yang baru untuk mempertingkatkan sumbangan sektor pertanian dan perhutanan kepada petumbuhan ekonomi. Justeru itu, DPN3 memperkenalkan dua pendekatan strategik yang baru iaitu pendekatan perhutani (agroforestry approach) dan pendekatan berasaskan produk (product-based approach).
9.   Pendekatan perhutani bertujuan untuk memberi perhatian kepada masalah kekurangan sumber-sumber termasuk tanah, buruh dan bahan mentah. Di bawah pendekatan ini, kegiatan pertanian dan perhutanan dilihat sebagai dua kegiatan yang serasi dan saling melengkapi, justeru, membuka peluang untuk dibangunkan bersama. Integrasi pertanian dan perhutanan juga adalah bertujuan membentuk asas pengeluaran yang lebih luas bagi kedua-dua sektor tersebut. Pendekatan ini akan memberi manfaat-manfaat berikut:


mewujudkan ruang yang lebih luas kepada pelbagai gabungan perusahaan perhutanan dan pertanian, mengoptimakan penggunaan sumber terutama tanah dan meningkatkan potensi penjanaan pendapatan dari pelaburan-pelaburan perhutani;



membolehkan pengeluaran hasil pertanian dan perhutanan daripada tanah yang sama dan dengan ini mengurangkan tekanan permintaan untuk tanah pertanian yang baru;



menyokong pelbagai perhubungan simbiotik seperti penanaman spesis pokok hutan dengan tanaman industri untuk mengoptimakan penggunaan tanah dan memaksimakan pulangan; dan



memberikan peluang hasil pulangan yang awal dan berterusan daripada komponen pertanian di dalam perusahaan campuran tersebut. Ini akan menggalakkan penyertaan sektor swasta di dalam kegiatan tanaman hutan komersil dan dengan demikian meningkatkan bekalan balak untuk industri berasaskan kayu.
10.   Pendekatan strategik baru yang kedua ialah pendekatan berasaskan produk. Melalui pendekatan ini, produk-produk dan pasaran-pasaran utama dikenalpasti berdasarkan permintaan, potensi pasaran dan cita rasa pengguna. Pendekatan berasaskan komoditi yang diamalkan sekarang telah menghadkan keupayaan dan keberkesanan sektor pertanian untuk menembusi pasaran yang bersegmen dan bernilai tinggi. Dengan menggunakan pendekatan berasaskan produk, ia akan memberi penekanan kepada keperluan dan cita rasa pengguna serta pasaran khusus di seluruh dunia. Permintaan dan keperluan pasaran ini digunakan untuk menggubal strategi-strategi pengeluaran pertanian huluan. Ini akan mewujudkan peluang untuk menambah pengeluaran dan meningkatkan keupayaan pemasaran hasil-hasil pertanian. Pendekatan ini akan dapat :-


melengkapkan pendekatan pembangunan berkelompok industri berasaskan pertanian yang telah dikenalpasti di dalam Pelan Induk Perindustrian 2 (1996-2005) melalui pengukuhan pertalian dalam dan antara sektor ekonomi yang akan merangkumi pembangunan dan peluasan industri sokongan dan perantaraan.



meningkatkan pengeluaran pertanian yang lebih khusus melalui penyampaian petunjuk-petunjuk pasaran serta pola citarasa pengguna kepada pengeluar di peringkat ladang. Ini akan menggalakkan pengeluaran produk-produk pertanian yang bermutu dan bernilai tinggi, membantu penghasilan perbezaan produk dan meningkatkan nilai ditambah produk-produk pertanian bagi memenuhi keperluan pelbagai segmen pasaran tempatan dan antarabangsa.
mengenalpasti dan memperluaskan peluang-peluang pasaran. Penggunaan petunjuk-petunjuk pasaran yang disalurkan kepada pengeluar akan memudahkan mereka membuat keputusan mengeluarkan bahan-bahan mentah yang diperlukan untuk menyokong aktiviti pengeluaran berasaskan pertanian dan aktiviti ekonomi yang lain. Ini akan meluaskan lagi skop pembangunan pertanian dan perhutanan serta mewujudkan peluang-peluang perniagaan dalam bidang-bidang perniagaan yang lebih luas melalui satu sistem rangkaian aktiviti pertanian dengan aktiviti sektor lain. Rangkaian ini termasuk penyelidikan dan pembangunan (P&P) serta penjanaan teknologi, pengeluaran dan pemprosesan primer, pengeluaran produk-produk pertengahan dan guna akhir, pengedaran dan perkhidmatan pemasaran serta produk akhir kepada pengguna.
11.   Berasaskan pendekatan dan teras strategi yang baru ini, sektor pertanian dijangka mencapai kadar pertumbuhan sebanyak 2.4% setahun di sepanjang tempoh DPN3. Sumbangan sektor pertanian kepada KDNK dijangka turun daripada 13.5% dalam tahun 1995 kepada 7.1% dalam tahun 2010. Penurunan ini adalah selaras dengan perubahan keseluruhan struktur ekonomi yang dialami oleh kebanyakan negara maju di mana sektor pertanian adalah didorong oleh peningkatan produktiviti melalui penggunaan teknologi secara intensif, petani yang berpengetahuan di dalam amalan-amalan pertanian serta pembangunan industri-industri baru yang berasaskan pertanian. Kekurangan tenaga buruh yang berterusan dan persaingan faktor-faktor pengeluaran yang lain dijangka mengurangkan lagi sumbangan getah dan koko kepada KDNK pertanian, masing-masing daripada 10.6% dan 4.4% dalam tahun 1995 kepada 5.1% dan 2.9% dalam tahun 2010. Sumbangan kayu gergaji juga dijangka turun daripada 13.9% kepada hanya 5.3% dalam tempoh yang sama, seiring dengan dasar pengurusan hutan yang mampan.
12.   Sektor pertanian dijangka memperolehi sumber pertumbuhan yang baru daripada hasil pelbagai inisiatif untuk menggalakkan pertumbuhan kumpulan industri baru seperti perhutani, produk asli istimewa, buluh dan rotan, produk bioteknologi, florikultur dan ikan hiasan. Sektor kecil makanan juga dijangka mengalami pertumbuhan ketara berikutan langkah-langkah intensif yang telah diambil untuk mengatasi kekangan-kekangan yang dihadapi berkaitan dengan pengeluaran, serta daya usaha lain untuk memperkukuhkan asas ekonomi sektor kecil ini. Sumbangan sektor kecil makanan kepada KDNK pertanian dijangka meningkat daripada RM4.3 bilion dalam tahun 1995 kepada RM7.4 bilion dalam tahun 2010. Permintaan kukuh yang kian meningkat terhadap minyak sawit di pasaran antarabangsa akan mempergiatkan lagi pertumbuhan industri ini. Nilai ditambah sektor kecil ini dijangka meningkat daripada RM6.8 bilion kepada RM10.3 bilion bagi tempoh tersebut, sementara sumbangannya kepada KDNK pertanian dijangka meningkat daripada 42.1% kepada 44.6%.
13.   Sektor pertanian khususnya sektor-sektor kecil tanaman industri dan perhutanan akan terus memainkan peranan penting sebagai pembekal utama bahan mentah kepada industri berasaskan sumber. Sumbangan sektor pertanian kepada KDNK dijangka akan menjadi lebih penting apabila lebih banyak bahan mentah pertanian diproses dan dijadikan produk akhir untuk dieksport. Bagi menampung pengeluaran dalam negara dan memenuhi permintaan yang kian bertambah daripada industri hiliran, perolehan strategik bahan mentah melalui pelaburan di luar negara akan diusahakan.
14.   Jumlah tenaga kerja dalam sektor pertanian akan berkurangan sebanyak 2.8% setahun daripada 1,429,000 pekerja dalam tahun 1995 kepada 930,000 pekerja dalam tahun 2010. Ia akan dilaksanakan melalui usaha-usaha mempertingkatkan penggunaan sistem pengeluaran intensif berautomasi dan mekanisasi serta mengurangkan perusahaan-perusahaan pertanian yang berintensif buruh. Peningkatan kawasan penggunaan tanah pertanian dijangka akan menjadi terhad dalam tempoh ini disebabkan kekurangan tanah, tenaga buruh serta peningkatan kos pengeluaran. Oleh itu, pengeluaran dijangka bertambah melalui peningkatan produktiviti. Produktiviti pekerja dijangka meningkat daripada RM11,360 kepada RM24,730 setiap pekerja dalam tempoh yang sama. Ini mencerminkan penekanan yang diberi kepada teknologi jimat buruh, inovasi dan pengurusan ladang yang lebih cekap.
15.   Di dalam tempoh DPN3, pertumbuhan pertanian dijangka akan terus meningkat melalui penggunaan tanah yang lebih intensif walaupun peluasan guna tanah adalah sederhana. Tanaman getah, padi, kelapa dan koko masing-masing dijangka akan berkurangan iaitu seluas 494,000 hektar, 302,600 hektar, 73,400 hektar dan 30,700 hektar. Kebanyakan kawasan ini akan ditanam semula dengan perhutani, kelapa sawit, buah-buahan dan sayur-sayuran. Pembukaan tanah baru pula akan hanya dilaksanakan di Sabah dan Sarawak di mana masih terdapat kawasan tanah yang luas. Dengan itu, peningkatan keluasan guna tanah dijangka meningkat hanya pada tahap 0.5% setahun iaitu daripada 5.7 juta hektar kepada 6.2 juta hektar.

No comments:

Post a Comment