Total Pageviews

Tuesday, February 7, 2012

i. Membincangkan mengenai Tamadun Islam berdasarkan :- a) Definisi b) Sejarah perkembangan c) Kepentingan mempelajarinya

Perkataan ‘tamadun’ sering digunakan untuk menggambarkan kemajuan kebendaan (material) sesebuah masyarakat. Dari perspektif semasa pula, perkataan ‘tamadun’ selalunya merujuk kepada pencapaian tertinggi dalam sains dan teknologi selari dengan penonjolannya dalam tamadun Barat pada zaman ini. Sebenarnya perkataan tamadun dari sudut etimologi berasal dari perkataan ‘maddana’ dalam bahasa Arab. Maddana ini diterbitkan perkataan maddani yang merupakan sifat nama. Maddana merupakan kata kerja yang merujuk kepada ‘perbuatan membuka bandar’ atau kota serta ‘perbuatan yang halus pekerti’. Daripada sifat nama. Madani merujuk kepada sifat sesuatu yang berkaitan dengan pembangunan perbandaran serta kehalusan budi pekerti yang terpuji. Kedua-dua perkataan ini iaitu maddani dan maddana sebenarnya berasal dari perkataan deen yang bermaksud agama iaitu mengambarkan kehidupan beragama.
Secara umumnya pengertian tamadun Islam mempunyai perkaitan antara konsep bahasa dan istilah. Dari sudut bahasa Arab, terdapat istilah yang dirujuk dalam konteks tamadun. Antara istilah-istilah itu ialah madaniah, tamadun, dan hadarah. Ibn Khaldun, seorang sarjana Islam yang unggul dalam bidang kemasyarakatan Islam dalam karyanya Muqaddimah, telah menggunakan istilah Umran, Umran digunakan dalam kajian tentang bandar-bandar atau kota yang memiliki kawasan tanah untuk didiami dan penempatan, keadaan tinggal menetap, berkembang subur dan maju.
Tamadun Islam bersumberkan wahyu iaitu Al-Quran dan hadis dan tamadun ini didirikan oleh masyarakat yang digelar dan menggelarkan diri mereka sebagai Muslim. Ini bermakna tamadun Islam tidak didirikan atas peranan atau kepentingan sesuatu bangsa,budaya,atau bersifat kebangsaan semata-mata. Tamadun Islam didirikan dan didukung oleh sama ada bangsa Arab, Turki, Parsi, India, Sepanyol, Melayu dan sebagainya dianggap saling melengkapi atau dikenali sebagai kesatuan ummah dan berpegang kepada unsur penyatuan iaitu konsep tauhid ( meng-Esakan Allah) manakala golongan minoriti bukan beragama Islam yang bernaung dibawah pemerintahan Islam dianggap sebagai penyumbang kepada pencapaian tamadun Islam.
Istilah Tamadun Islam mempunyai beberapa makna. Dari segi budaya ia merujuk kepada komuniti Muslim sedunia, pengikut ajaran Islam. Komuniti ini berjumlah kira-kira 1.3 hingga 1.4 bilion orang, atau satu perlima dari penduduk dunia.
Komuniti ini tersebar luas di banyak negara dan kumpulan etnik yang Cuma dihubungkan dengan agama. Dari segi sejarah atau geopolitik pula, istilah ini biasanya merujuk kepada kumpulan negara majoriti Muslim atau negara yang
Islam menonjol dalam politiknya.
Komuniti Muslim sedunia juga dikenali secara kolektif sebagai "ummah".
Islam menekankan perpaduan dan pembelaan sesama Muslim, walaupun
terdapat beberapa golongan dalam Islam (seperti pemisahan Sunnah-Syiah). Di
masa lampau, ideologi "pan-Islamisme" dan nasionalisme pernah mempengaruhi
Dunia Islam.
Islam telah melahirkan antara tamadun manusia yang terunggul di dunia.
Ilmuan serta cendekiawan Islam seperti Ibn Sina atau Avicenna, Ibn Rushd atau
Averroes dan Al-Khawarizmi telah menyumbang kepada pembangunan sains
dan teknologi dunia. Malahan pembangunan ilmu dalam Dunia Islam telah diakui
sebagai pemangkin kepada Zaman Pembaharuan (bahasa Inggeris:
Renaissance) di Eropah yang akhirnya melahirkan satu tamadun yang gemilang
di sana.
Bangsa Barat khasnya Eropah telah mengambil inisiatif besar
menterjemah malah mempelajari pelbagai jenis ilmu dari dunia Islam Sepanyol
dan lain-lain wilayah di Timur Tengah.
Ilmu-ilmu yang diterjemah itu melewati ilmu-ilmu falsafah, perubatan, astronomi, matematik, logik, akhlak, kimia, dan algebra. Lahir Universiti-universiti Naples, Bologna, Universiti Paris, Oxford dan Koln, akhirnya Eropah berjaya melepasi Zaman Kelam meluncur menuju Zaman Pembaharuan. Ilmu-ilmu dari dunia Islam telah membawa kejayaan kepada bangsa Eropah.
Semasa Zaman Keemasan Islam (750 - 1250: zaman Kerajaan
Abbasiyah), para ahli falsafah dan ahli sains, serta jurutera-jurutera dari dunia
Islam banyak menyumbang kepada teknologi. Mereka melakukan ini dengan dua
cara, iaitu dengan mengekalkan tradisi-tradisi yang awal, serta dengan
menambahkan rekaan-rekaan dan pembaharuan-pembaharuan mereka sendiri.
Pencapaian-pencapaian saintifik dan intelektual mekar pada zaman keemasan
itu.
Kerajaan Islam mewarisi "pengetahuan dan kemahiran Timur Tengah
kuno, Yunani, Parsi dan India. Mereka menambah pembaharuan penting dari
luar, contohnya seperti penomboran kedudukan dari India," tulis Bernard Lewis
dalam bukunya What Went Wrong? (Apakah Silapnya?).
Satu lagi pembaharuan ialah kertas, asalnya rahsia yang dijaga ketat
orang Cina. Seni pembuatan kertas diperolehi daripada dua tawanan di
Pertempuran Talas (751), hingga kilang kertas dapat dibina di Samarkand dan
Baghdad. Orang Arab memperbaiki teknik orang Cina dengan menggunakan
kain linen berbanding kulit pokok mulberi.
Kebanyakan pembelajaran dan kemajuan ini dapat dikaitkan dengan
geografi. Sebelum kedatangan Islam lagi, bandar Makkah telah menjadi pusat
perdagangan di Semenanjung Arab dan Nabi Muhammad juga merupakan
saudagar. Tradisi mengerjakan haji ke Mekah menyebabkannya menjadi pusat
pertukaran idea dan barangan. Pengaruh yang dimiliki saudagar Muslim ke atas
jalan perdagangan Afrika-Arab dan Arab-Asia amat besar. Hasilnya, tamadun
Islam tumbuh dan berkembang di atas ekonomi saudagarnya, berbeza dengan
tamadun Kristian, China dan India yang masyarakatnya berasaskan kepemilikan
tanah pertanian oleh bangsawan. Para saudagar membawa barangan dan kepercayaan mereka ke China (menyebabkan ramai Cina Muslim iaitu hampir 37 juta.
Sebahagian besarnya orang Uyghur Turki yang tanahnya dirampas China), India,Asia Tenggara, dan kerajaan di barat Afrika dan kembali dengan pembaharuan baru. Saudagar-saudagar ini menggunakan kekayaan mereka untuk melabur dalam industri tekstil dan perladangan.
Perkembangan tamadun Islam ini juga dapat dilihat dari segi kesenian islam itu sendiri. Zaman Keemasan kesenian Islam berlangsung dari tahun 750 hingga abad ke-16, apabila seni tembikar, kaca, seni logam, tekstil, manuskrip
berhias dan pertukangan kayu berkembang maju. Sepuh berkilat merupakan
sumbangan Islam yang terunggul kepada seni tembikar. Manuskrip berhias
menjadi suatu seni yang penting dan amat dihormati dan lukisan potret kenit
berkembang maju di Parsi. Seni khat, salah satu aspek tulisan Arab yang penting, berkembang dalam manuskrip dan perhiasan seni bina.
Hanya dalam bidang falsafah para cendekiawan dilarang mengemukakan
idea-idea bukan ortodoks. Bagaimanapun, ahli sains Parsi, Ibnu Sina dan Ibnu
Rushd memainkan peranan yang utama dalam penyimpanan karya-karya
Aristotle yang idea-ideanya menguasai pemikiran bukan agama bagi dunia-dunia
Kristian dan Muslim. Mereka juga menyerap idea-idea dari China dan India, dan
menambahkannya pada pengetahuan mereka yang luas yang diperoleh
daripada kajian-kajian sendiri. Tiga orang pemikir spekulatif, al-Kindi, al-Farabi,
dan Ibnu Sina, menggabungkan Aristotelianisme dan Neoplatonisme dengan
idea-idea lain yang diperkenalkan melalui Islam.
Dalam dunia sains Islam pula, perbezaan antara sikap ahli-ahli sains
Byzantine dengan sikap orang-orang Muslim zaman pertengahan yang setara
adalah nyata. Byzantium tidak menambah atau hanya menambah sedikit
pengetahuan baru kepada sains perubatan Yunani-Rom. Ini mungkin boleh
dijelaskan melalui fakta bahawa perkembangan permulaan Islam ke luar
Semenanjung Arab telah menawan tiga buah kota Byzantine yang paling
produktif: Iskandariah, Carthage dan Antioch. Akibat kehilangan kerajaan pusat
yang amat mahir, serta serangan-serangan Arab yang berterusan terhadap
Anatolia, kebanyakan kota Byzantine tidak dapat menyokong seni dan sains.
Banyak penduduk kembali beramai-ramai ke perladangan sara diri. Kebanyakan
ahli sains Islam yang paling terkenal hidup pada Zaman Keemasan Islam. Antara
pencapaian-pencapaian cendekiawan Muslim semasa zaman ini ialah rekaan
trigonometri sfera, kemajuan dalam bidang optik serta kemajuan dalam bidang
astronomi (termasuklah pembinaan balai cerap pertama serta penciptaan
astrolab).
Perubatan merupakan sebahagian utama kebudayaan Islam Zaman
Pertengahan. Bergerak balas kepada keadaan masa dan tempat, pakar perubatan dan cendekiawan Islam mengembangkan sebuah kesusasteraan
perubatan yang besar dan rumit yang memeriksa dan mensintesiskan teori dan
amalan perubatan (dari arkib digital Perpustakaan Perubatan Negara Amerika
Syarikat).
Perubatan Islam dikembangkan Perubatan Islam dikembangkan berdasarkan tradisi, terutamanya pengetahuan teori dan amalan yang dikembangkan di Parsi, Yunani, dan Rom.
Bagi cendekiawan-cendekiawan Islam, Galen dan Hippocrates merupakan tokoh-tokoh cemerlang yang berwibawa, diikuti oleh cendekiawan-cendekiawan Yunani di Iskandariah.
Para cendekiawan Islam menterjemahkan karya-karya
Yunani kepada bahasa Arab dan kemudian menghasilkan pengetahuan
perubatan yang baru berdasarkan teks-teks tersebut. Untuk membolehkan tradisi
Yunani lebih senang difahami dan diajar, cendekiawan-cendekiawan Islam
menyusun pengetahuan perubatan Yunani-Rom yang luas dan kekadang tidak
tekal dengan lebih sistematik melalui penulisan ensiklopedia dan ringkasan (dari arkib digital Perpustakaan Perubatan Negara AS).
Orang Islam telah memberi sumbangan yang begitu besar terhadap peradaban dan tamadun manusia. Sumbangan yang paling besar ialah dan aspek agama kerana agama Islam membawa akidah, iaitu kepercayaan terhadap Allah Yang Maha Esa. Menerusi akidah, manusia bebas hidup tanpa ada sesuatu yang di¬takutinya kecuali Tuhan.
Akidah juga menjadi aspirasi bagi manusia untuk bekerja secara ikhlas dan jujur. Oleh sebab sifatnya sarwajagat dan tidak terbatas-batas bangsa, kaum, keturunan dan geografi menyebabkan agama Islam dapat diterima oleh semua bangsa di dunia. Inilah antara sebab agama dan tamadun Islam berkembang di seluruh dunia. Di samping itu, agama Islam juga menyediakan undang-undang dan peraturan hidup manusia yang dinamakan Undang-undang Syariat yang dilaksanakan setiap masa dan tempat. Sekiranya akidah menjadi aspirasi dan motif penggerak ke arah tamadun, maka peranan syariat itu ialah menunjuk ajar serta memberi kaedah yang jelas kepada asas pembinaan tamadun.
Antara asas itu ialah ilmu, iman dan amal. Ini ditambah pula dengan aspek akhlak, iaitu asas kepada pembinaan peribadi yang luhur. Kesepaduan ketiga-ketiga aspek itu akan membentuk insan yang sem¬purna yang merangkumi roh, akal dan jasad. Dengan ketibaan ajaran Islam, masyarakat Eropah tidak lagi terikat dengan kawalan atau sekatan Paus gereja Rom. Bukan sahaja mereka tidak menghormati institusi gereja, bahkan mereka menentangnya. Seruan agama secara paksaan yang selama mi diamal¬kan oleh pihak gereja telah diubah kepada cara diplomasi dan damai.
Dalam bidang falsafah dan pemikiran, daripada pengaruh Islam, orang Eropah dapat membebaskan pemikiran mereka yang selama mi dibelenggu oleh pelbagai doktrin Kristian terutama sekali hubungan manusia dengan alam. Manusia tidak lagi dipandang sebagai makhluk yang pasif lantaran dosa warisan.
Demikian juga sikap mereka terhadap kehidupan di dunia, bukan lagi sesuatu yang dibenci lantaran ia merosakkan, tetapi sesuatu yang mesti diisi dengan aktiviti kehidupan yang bermakna.
Perubahan sikap ini akhirnya melahirkan satu gerakan intelektual yang dikenali sebagai faham humanisme pada abad ke-13M. Tokoh-tokoh falsafah Islam yang dicontohi oleh orang Eropah ialah al-Kindi, al-Farabi, Ibn Tufayl dan Ibn Rushd. Ibn Tufayl dengan karyanya Hayy Ibn Yaqzan yang mengungkapkan bahawa manusia boleh mengenal Tuhan tanpa wahyu dan guru telah mempengaruhi pemikiran orang Eropah. Karya ini telah diterjemahkan ke bahasa Latin oleh Roger Bacon dan diterbitkan bersama-sama teks Arab di Oxford pada tahun 1671. Seterusnya karya tersebut diterjemahkan ke bahasa-bahasa Eropah yang lain. Bukan se¬takat menterjemah, malahan orang Eropah juga menghayatinya melalui penciptaan kisah-kisah berdasarkan idea yang dikemukakan dalam buku tersebut. Antara kisah tersebut ialah Robinson Crusoe yang dihasilkan pada abad ke¬ 18M.
Begitu juga idea falsafah Ibn Rushd telah mempengaruhi ahli falsafah Eropah sejak abad ke-12M lagi. Pada abad ke-16M, falsafah Ibn Rushd, menurut Renan, telah diamalkan secara rasmi oleh golongan terpelajar di Itali.
Dalam bidang kemasyarakatan konsep keadilan, hak individu serta penyertaan rakyat memberi pendapat, memberi layanan baik terhadap tawanan pe¬rang, etika peperangan seperti melindungi nyawa kanak-kanak, orang tua dan kaum wanita yang dianjurkan oleh Islam merupakan nilai baru bagi mereka. Tokoh-tokoh yang dicontohi dalam aspek keadilan sosial ialah Nabi Muhammad (saw) dan para sahabatnya termasuk Abu Bakar, ‘Umar, ‘Uthman dan ‘Ali.
Orang Eropah juga mendapat pengetahuan dalam bidang ekonomi seperti kegiatan perdagangan, perindustrian, teknologi pertanian serta sistem perairan. Teknik tanaman seperti sekoi, padi, tembikai, aprikot dan limau telah dipe¬lajari daripada orang Islam. Tokoh-tokoh Islam yang dicontohi ialah Ibn Baytar dan al-Ghafiqi.

Tokoh-tokoh Islam yang terkenal dalam bidang perubatan ialah al-Razi dan al-Asrar. Al-Razi telah menghasilkan buku berjudul al-Hawi. Buku ini telah dijadikan rujukan di Eropah dalam bidang kimia. Begitu juga buku Ibn Sina berjudul al-Qanun menjadi bahan rujukan di Eropah.
Dalam bidang perkilangan, misalnya kilang membuat senjata di kota-kota besar Islam seperti Cordova dan Baghdad telah memberikan sumbangan besar kepada Eropah.
Dalam bidang matematik pula, ramai penuntut Eropah yang datang belajar ke Andalus pada zaman pemerintahan Islam. Kebanyakan mereka telah menjadi pakar dalam bidang tersebut, antaranya Adelard dan Morley dari Britain. Adelard telah berguru dengan orang Islam dan beliau telah menterjemahkan karya al-Khawarizmi yang menulis tentang teori geometri dalam matematik dan statistik. Beliau telah menggunakan nombor Arab dalam terjemahannya. Seorang lagi tokoh matematik Eropah ialah Leonardo Fibonacci of Pisa. Beliau telah mempelajari ilmu matematik dengan orang Islam di Andalus. Karya-¬karya beliau antaranya Liberab’ci telah dijadikan bahan bacaan asas ahli matematik di Eropah. Begitu juga George Purbach, pakar matematik dari Vienna pada abad ke-15M banyak berpandukan kajian yang dilakukan oleh ahli matematik Islam seperti Ibn al-Zarqiyali. Beliau mahir dalam matematik rajah segi tiga.
Dalam bidang astronomi terdapat beberapa karya karangan Abu Ma’syar dan al-Khawarizmi. Karya mereka telah diterjemahkan ke bahasa Latin oleh Adelard of Bath dan John of Siville. Karya al-Battani juga telah diterjemahkan ke dalam bahasa Latin oleh Alfonso X. Ahli astronomi Eropah bernama Romond telah menulis karya astronominya berdasarkan karya Ibn al-Zarqiyali (Azarchel). Ibn al-Zarqiyali mahir dalam menentukan gerhana matahari dan telah mencipta sebuah kompas untuk menentukan jarak antara bulan dan bumi dan di antara bintang-bintang dan matahari. Dalam bahasa Eropah ter¬dapat beberapa istilah astronomi yang dipinjam daripada bahasa Arab. Antaranya ialah alsumut dan nadir (nazir). Umat Islam juga telah berjaya mencipta kompas yang digunakan dalam pelayaran di laut. Dengan itu pelayaran di laut dan kegiatan perdagangan telah berkembang dengan lebih pesat. Muhammad bin Musa telah mencipta astrolab (jam matahari). Beliau juga mencipta sebuah alat yang dapat mengukur bulatan dunia. Pada abad ke-12M, Abu Solet telah mencipta sebuah alat yang dapat menimbulkan semula kapal yang sudah tenggelam.
Dalam bidang botani pula, umat Islam telah memberi sumbangan yang besar. Di kota-kota besar seperti Cordova, Kaherah, Baghdad dan Fez terdapat taman bunga yang cantik dan indah. Menurut Sarton, pencapaian umat Islam dalam bidang botani adalah jauh lebih hebat daripada pencapaian yang pernah diwarisi bangsa Yunani. Pada abad ke-12M, Ibn Arabi telah menulis sebuah buku tentang botani. Al-Ghafiqi dari Cordova telah menerbitkan sebuah buku tentang tumbuh-tumbuhan dan 50 jenis pohon buah-buahan. Sementara Ibn Sina turut menghasilkan sebuah buku yang mengulas tentang tumbuh¬tumbuhan. Ibn al-Baytar yang berasal dan Andalus telah menyusun sebuah buku yang menyenaraikan 1400 jenis dadah yang boleh diproses daripada binatang, tumbuh-tumbuhan dan bahan galian. Karyanya yang berjudul Kitab al-Mughni fi al-Adwiyah al-Mufradah merupakan sebuah buku yang paling perpengaruh dalam bidang farmakologi. Berikutnya, karya-karya botani yang berkaitan dengan perubatan telah dihasilkan oleh para pengkaji yang tinggi di wilayah-wilayah Islam. Segala kajian itu telah membantu mengenal pasti jenis akar kayu dan tumbuh-tumbuhan yang berkhasiat dan dapat digunakan dalam bidang perubatan.
Dalam bidang seni muzik pula, pada abad ke-12, didapati karya-karya penting yang dihasilkan oleh orang Islam tentang muzik telah diterjemahkan ke bahasa Latin. Terjemahan ini dilakukan di Toledo. Ahli muzik Eropah, Franco of Cobogne (1190M) telah mengikut jejak al-Kindi dalam bidang seni muzik. Setelah itu muncul pula John of Garland dengan karyanya berjudul Ochetus yang mengkaji tentang nada suara yang diambil daripada kaedah nada suara muzik Arab.
Dalam bidang bahasa, sastera dan seni ukir, banyak karya bahasa dan sas¬tera dalam bahasa Arab telah diterjemahkan ke bahasa-bahasa Eropah. Istilah-¬istilah Arab seperti sukkar (sugar), kimia (alchemy), arsyek (cheque) dan ba¬nyak lagi telah dipinjam oleh bahasa Eropah. Tidak kurang pentingnya tentang ilmu pelayaran Islam. Ramai tokoh ahli pelayaran Islam yang menjadi terkenal antaranya ialah al-Mas’udi, Ibn Jubayr dan Ibn Battutah.
Dalam bidang ketenteraan pula, taktik peperangan yang digunakan oleh tentera Islam sejak zaman Nabi Muhammad (saw) banyak mempengaruhi taktik dan strategi peperangan pada zaman moden.
Ringkasnya, banyak aspek keintelektualan Islam telah ditiru oleh bangsa Eropah sehingga melahirkan satu perubahan besar dalam sejarah tamadun di Eropah. Namun begitu, nilai-nilai murni yang terkandung dalam tamadun Islam tidak dimanfaatkan oleh masyarakat Barat bagi mengukuhkan lagi ta¬madun mereka, malah mereka menggantikannya dengan nilai-nilai kebendaan semata-mata. Justeru, lahirlah era penjajahan bagi mengejar harta kekayaan tanpa batas dan sempadan.
Sebagai umat Islam pada hari ini, adalah amat penting bagi kita mengetahui dan mempelajari tentang sejarah dan perkembangan kegemilangan tamadun Islam. Secara dasarnya, suatu waktu dahulu, sinar Islam pernah berkembang dengan gemilang dan cerah. Kegemilangan tamadun Islam pernah menjadi ikutan barat selama dunia barat selama beratus-ratus tahun. Kemajuan dan kehebatan barat pada masakini sebenarnya adalah kerana mereka mempelajari dan mengeksploitasi ilmu-ilmu Islam pada zaman dahulu dan menukarkan tamadun mereka menjadi hebat pada hari ini. Pada saat ini, umat Islam dilihat sebagai mundur, suka berperang, berpecah belah dan menindas kaum wanita, itulah yang di gambarkan oleh barat untuk menjadikan Islam tidak tidak dapat bangun semula.
Pada masa kini, adalah penting bagi umat Islam menggali semula ilmu-ilmu yang telah ditinggalkan oleh para cendekiawan dan ulama Islam agar kita umat Islam kembali berada diatas semula mengulangi semula zaman kebangkitan Islam. Kelemahan dan kemunduran umat Islam pada masa kini adalah disebabkan perangai dan sifat umat Islam sendiri yang malas untuk menuntut ilmu, suka kepada kekayaan duniawi, dan rakus dan tamak mengejar segala sogokan-sogokan dunia yang di utarakan oleh budaya barat pada zaman sekarang. Umat Islam harus mula sedar dan mengubah sikap agar Islam itu kembali dipandang mulia dan syumul dan menjadi contoh ikutan kepada mereka yang lain.
Umat Islam tanpa mengira fahaman mazhab dan aliran haruslah kembali bersatu agar tali ikatan ummah sentiasa teguh dan kukuh menjadi benteng kepada umat Islam. Justeru itu,adalah penting bagi umat Islam mempelajari sejarah dan tamadun Islam agar kita dapat belajar dari sejarah bahawa perpecahan,sifat tamak dan haloba kuasa, sifat dengki khianat yang menyebabkan runtuhnya tamadun Islam yang pernah gilang gemilang pada suatu masa dahulu setelah kerajaan Turki Uthmaniyyah jatuh di tangan Mustafa Kemal At-Taturk dengan bantuan British. Umat Islam hendaklah tidak mengulangi semula kesilapan yang pernah berlaku pada saudara-saudara kita yang terdahulu dan kita perlu belajar daripada sejarah untuk membina semula Islam yang gilang gemilang dan diredhoi oleh Allah.





iii) Sumbangan tokoh-tokoh berikut serta menghubungkaitkan sumbangan mereka dalam bidang masing-masing terhadap dunia moden.

Al- Farabi

PENGENALAN
Bumi Turkistan yang selama beberapa abad di bawah empayar Islam telah menjadi pusat aktiviti keintelektualan dan keagamaan. Kini telah menjadi sebuah jajahan di bawah pemerintahan Soviet Union. Namun, kita harus berterima kasih kerana bumi Turkistan ini telah melahirkan al-Farabi, seorang ahli falsafah yang begitu agung dalam dunia Islam mahupun Barat. Pengkajian beliau meliputi banyak bidang, daripada Disiplin Logik dan Falsafah kepada Ilmu Fizik dan Psikologi; daripada Linguistik dan Matematik kepada Sains Politik dan Perbandingan Agama. Al-Farabi merupakan ahli falsafah Muslim yang berpandukan al-Quran dan Sunnah, bukannya berteraskan ahli falsafah Greek sepertimana yang sering didakwa. Malahan, cara hidup dan berfikir beliau dalam dunia keintelektualan, juga berpandukan al-Quran, As-sunnah dan syariah.
LATAR BELAKANG

Nama sebenarnya ialah Abu Nasr Muhammad Ibnu Muhammad Ibnu Tarkhan Ibnu Awzalagh Al-Farabi, lebih dikenali dengan nama Abu Nasr Al-Farabi. Beliau dilahirkan di Wasij, sebuah perkampungan kecil di daerah Farab iaitu di wilayah Transoxiana, Turkistan sekitar tahun 870 Masihi. Bapanya merupakan seorang anggota tentera yang miskin tetapi semua itu tidak menghalangnya daripada mendapat pendidikan di Baghdad. Beliau telah mempelajari bahasa Arab di bawah pimpinan Ali Abu Bakr Muhammad Ibn al-Sariy.
Selepas beberapa waktu, beliau berpindah ke Damsyik sebelum meneruskan perjalanannya ke Halab. Semasa di sana, beliau telah berkhidmat di istana Sayf al-Daulah dengan gaji empat dirham sehari. Hal ini menyebabkan beliau hidup dalam keadaan yang serba kekurangan. Al-Farabi terdidik dengan sifat qanaah menjadikan beliau seorang yang amat sederhana, tidak gilakan harta dan cintakan dunia. Beliau lebih menumpukan perhatian untuk mencari ilmu daripada mendapatkan kekayaan duniawi. Oleh sebab itu, Al-Farabi hidup dalam keadaan yang miskin sehingga beliau menghembuskan nafas yang terakhir.

Beliau meninggal dunia di Damsyik pada bulan Rejab 339 Hijrah bersamaan Disember 950 Masihi, semasa berusia 80 tahun. Jenazahnya dikebumikan di sebuah perkuburan di bahagian luar pintu selatan atau pintu sampingan kota tersebut. Sayf al-Daulah sendiri yang mengetuai sekumpulan pembesar istananya menyembahyangkan jenazah al-Farabi.




SUMBANGAN

Beliau merupakan seorang saintis terkemuka Islam dan termasyhur kerana hasil kerja dan penulisannya terutamanya dalam bidang Falsafah, Logik dan Sosiologi. Ilmu pengetahuan yang dimilikinya tidak terhad kepada tiga bidang itu sahaja kerana beliau juga banyak memberikan sumbangan dalam bidang-bidang lain meliputi sains, perubatan, matematik dan muzik. Sebagai seorang ahli falsafah, beliau dikelaskan sebagai ‘Neoplatonism’ yang cuba menggabungkan falsafah pemikiran Plato dan Aristotle. Selain buku-buku tulisan sendiri, beliau banyak menulis komentar mengenai falsafah Aristotle mengenai fizik, meteorologi, logik dan sebagainya. Kehebatannya dalam bidang falsafah menyebabkan beliau digelar guru kedua (al-Mu’allim al-Thani) iaitu selepas guru pertama dalam bidang falsafah iaitu Aristotle.
Beliau juga terkenal kerana kemampuannya menguasai pelbagai jenis bahasa. Beliau banyak mengembara dan membuat kajian terutamanya di Damsyik dan Mesir. Salah satu daripada sumbangan utama Al-Farabi ialah membuat kajian mengenai logik dengan memudahkannya melalui cara membahagikan kepada dua kategori iaitu idea (Takhayyul) dan bukti (Thubut). Dalam bidang Sosiologi, beliau menulis buku bertajuk Ara Ahl al- Madina al-Fadila yang merupakan sebuah buku yang terkenal.
Beliau juga menulis buku mengenai muzik yang dikenali sebagai Kitab al-Musiqa al-Kabir. Tumpuan Al-Farabi bukan sahaja dalam bidang Falsafah dan Sosiologi semata-mata, sebaliknya, beliau merupakan pakar dalam kesenian dan sains muzik. Bakat beliau sangat menakjubkan apabila Al-Farabi juga telah mereka cipta beberapa peralatan muzik, selain menyumbang kepada ilmu nota muzik. Dalam bidang Fizik pula, beliau menunjukkan kewujudan konsep kekosongan.
Kemampuan Al-Farabi bukan sekadar itu, malah beliau juga memiliki ilmu pengetahuan yang mendalam dalam bidang Perubatan, Sains, Matematik, dan Sejarah. Namun, ketrampilannya sebagai seorang ilmuwan yang terulung lebih dalam bidang falsafah. Bahkan, kehebatannya dalam bidang ini mengatasi ahli falsafah Islam yang lain seperti Al-Kindi dan Ibnu Rusyd. Sebagai seorang ilmuwan, Al-Farabi banyak mencurahkan ilmu dan hasil kerjanya dalam bentuk buku. Sayangnya, kebanyakan buku-buku tersebut telah hilang. Hanya 117 buah buku hasil tulisan Al-Farabi yang dapat dikenal pasti. Daripada jumlah itu, 43 buah adalah buku mengenai Logik, 11 buah (Metafizik), 7 buah (Sains Politik), 17 buah (Muzik, Perubatan, dan Sosiologi) manakala 11 buah lagi adalah dalam bentuk komentar. Beberapa buah bukunya termasuk Fusus al-Hikam telah menjadi buku teks falsafah selama berkurun lamanya di pusat-pusat pembelajaran dan sehingga kini masih digunakan di beberapa buah institusi di Timur.
Dalam membicarakan teori politiknya, beliau berpendapat bahawa akal dan wahyu adalah satu hakikat yang padu. Sebarang percubaan dan usaha untuk memisahkan kedua-dua elemen tersebut akan melahirkan sebuah negara yang pincang serta masyarakat yang kacau-bilau. Oleh itu, akal dan wahyu perlu dijadikan sebagai dasar kepada pembinaan sebuah negara yang kuat, stabil serta makmur.
Al-Farabi banyak mengkaji mengenai falsafah dan teori Socrates, Plato, dan Aristotle dalam usahanya untuk menghasilkan teori serta konsep mengenai kebahagiaan. Maka tidak hairanlah, Al-Farabi dikenali sebagai orang yang paling memahami falsafah Aristotle. Dia juga merupakan orang yang terawal menulis mengenai ilmu logik Yunani secara teratur dalam bahasa Arab.
Meskipun pemikiran falsafahnya banyak dipengaruhi oleh falsafah Yunani tetapi beliau menentang pendapat Plato yang menganjurkan konsep pemisahan dalam kehidupan manusia. Menurut Al-Farabi, seorang ahli falsafah tidak seharusnya memisahkan dirinya daripada Sains dan Politik. Sebaliknya perlu menguasai kedua-duanya untuk menjadi seorang ahli falsafah yang sempurna. Seorang ahli falsafah tidak mempunyai cukup peralatan untuk dieksploitasikan bagi kepentingan orang lain tanpa penggunaan ilmu sains. Justeru, seorang ahli falsafah yang tulen tidak akan merasai sebarang perbezaan di antaranya dengan pemerintah yang tertinggi kerana kedua-duanya merupakan komponen yang saling lengkap-melengkapi. Dalam hal ini, beliau mencadangkan agar diwujudkan sebuah negara kebajikan yang diketuai oleh ahli falsafah.
Al-Farabi juga turut memperlihatkan kecenderungannya menghasilkan beberapa kajian dalam bidang perubatan. Walaupun kajiannya dalam bidang ini tidak menjadikannya masyhur tetapi pandangannya telah memberikan sumbangan yang cukup bermakna terhadap perkembangn ilmu perubatan di zamannya. Salah satu pandangannya dalam bidang perubatan yang menarik ialah mengenai betapa jantung adalah lebih penting berbanding otak dalam kehidupan manusia. Hal ini menyebabkan jantung memberikan kehangatan kepada tubuh sedangkan otak hanya menyelaraskan kehangatan itu menurut keperluan anggota tubuh badan.
Al-Farabi merupakan model cendekiawan Islam yang pakar segenap bidang. Beliau menguasai banyak bahasa. Selain bahasa Arab, Turki, dan Parsi, dikatakan bahawa beliau mengetahui loghat-loghat Asia Tenggara dan bahasa tempatan termasuk bahasa Syria dan Greek.

Penulisan Al-Farabi mencakupi setiap bidang ilmu. Idea beliau juga mempengaruhi daripada segi keintelektualan ke atas dunia Islam di Timur dan juga dunia Latin di Barat. Beliau pernah menghuraikan secara terperinci pandangan tokoh falsafah Aristotle dalam bidang Fizik Meteorologi dan Logik. Berdasarkan pemikiran intelektual itu, beliau diberi gelaran utama al-Mu’allim al-Thani (guru yang kedua).
Beliau digambarkan dengan seadil-adilnya sebagai tokoh yang kuat pegangan agamanya. Beliau seorang Muslim sejati yang hidup dan berfikir dalam sinaran ajaran Islam yang terkandung di dalam al-Quran dan Sunnah. Al-Farabi membentuk gagasan idea sebagai tindak balas intelektual kepada pemikiran Greek. Pengislaman sains dan falsafah Greek yang diusahakannya perlu mendapat perhatian yang wajar daripada kalangan sarjana Muslim hari ini.





Al-Ghazali



LATAR BELAKANG

Imam Al–Ghazzali atau nama sebenarnya ialah Abu Hamid Muhammad ibn Muhammad ibn Ahmad Al–Ghazzali dilahirkan pada tahun 450 hijrah bersamaan 1058 Masihi di desa Ghazalah, di pinggir kota Tus, yang kini terletak di bahagian timur laut negara Iran, berdekatan dengan kota Mashhad, iaitu ibu kota wilayah Khurasan. Al – Ghazzali bebangsa Parsi. Beliau di gelar dengan beberapa gelaran seperti Hujjat al–islam (the proof of islam) dan Zayn al-Din (The Ornament of Religion). Al–Ghazzali berasal daripada keluarga yang berkedudukan sederhana dalam masyarakat yang menekankan aspek penghayatan ajaran islam. Ayahnya bekerja sebagai penenun kain dari bulu biri-biri. Hasil tenunan kainnya itu dibawa dari desa Ghazalah ke kota Tus untuk dijual di sana. Ayah Abu Hamid Al-Ghazali telah meninggal dunia ketika beliau berumur lebih kurang 6 tahun.
Al-Ghazzali telah berkahwin sebelum umurnya mencecah 20 tahun, dan dikurniakan 4 orang anak iaitu 3 perempuan dan seorang lelaki. Gelaran Abu Hamid yang terdapat di pangkal namanya adalah sempena nama anak lelakinya Hamid yang telah meninggal dunia ketika masih kecil lagi. Pendidikan awal Al–Ghazzali adalah secara formal bermula di Kota Tus. Beliau memulakan pengajian di sebuah madrasah dalam kota Tus. Sebelum umurnya mencecah 15 tahun, beliau berhijrah pula ke Jurjan bagi menyambung pengajiannya dalam bidang al-fiqh dengan bimbingan al-Imam Abi Nasr al–Ismaili. Al-Ghazzali merupakan seorang tokoh unggul dalam bidang al-Tasawwuf, al-fiqh,ilm al- Kalam serta tokoh pemikir islam yang bersifat sederhana dalam displin logik. Beliau telah wafat pada tahun 505 hijrah bersamaan 1111 masihi pada usianya 55 tahun
Beliau sangat terkenal dengan pelbagai ilmu dalam bidang pengetahuan terutamanya falsafah akhlak. Pengertian akhlak bagi al-Ghazali bersesuaian dengan yang ditetapkan oleh syariat Islam. Maka itu pelbagai nama yang digunakan untuk akhlak antaranya sifat-sifat hati, rahsia-rahsia amal ibadat, agama dan budi pekerti yang baik.
Menurut al-Ghazali, dasar budi pekerti manusia dibahagikan kepada tiga sebab asas iaitu akal, hawa nafsu, dan marah. Memperbaiki budi pekerti ialah dengan cara memperseimbangkan ketiga-tiga dasar itu. Untuk membentuk peribadi yang baik, kadangkala terpaksa mengorbankan perkara yang baik pada pandangan manusia, sesuai dengan firman Allah s.w.t. yang bermaksud: Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia adalah baik untukmu, begitu juga boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal perkara itu tidak baik untukmu ( Surah Al-Baqarah: Ayat 216). Ukuran untuk menilai sesuatu itu sama ada baik atau buruk adalah berpandukan syariat sebagai ukuran yang tetap dan tidak berubah-ubah. Ini berbeza dari apa yang berlaku pada dunia Barat kerana yang menjadi ukuran ialah pendapat umum.
Dalam bidang pendidikan kanak-kanak pula, al-Ghazali memberikan peringatan bahawa hendaklah membentuk kanak-kanak kearah suatu matlamat, bukan membiarkan kanak-kanak memilih apa yang disukainya. Walaupun terdapat kecenderungan ahli pendidik pada zaman sekarang bahawa mereka lebih suka membiarkan kanak-kanak memilih sendiri bidang yang digemari dan yang hendak diceburinya. Menurut beliau, sekiranya membiarkan kanak-kanak memilih sendiri bidang yang hendak diceburinya, berkemungkinan berlakunya pemilihan yang tidak tepat dan membawa kepada perkara yang negatif. Dengan sebab itu beliau menekankan bimbingan kearah pemilihan itu sangat penting lantaran kanak-kanak sangat terhad pemikiran mereka.

5 comments:

  1. Hak cipta terpelihara,segala copy paste dan sewaktu dengannya hendaklah dengan kebenaran saya dahulu sebelum anda boleh ambil.ingatlah dosa dengan Allah boleh mintak ampun,tapi dosa sesama manusia kena mintak sendiri hehe

    ReplyDelete
    Replies
    1. As salam...

      Saya hanya copy and paste utk bahan bacaan sahaja...bolehkan...nanti saya akan kaji dengan lebih dalam lagi mengenai tulis saudara/saudari ini...terima kasih

      Delete
    2. Kenapa?
      sedangkan ini ilmu...
      jika tidak mahu org copy paste, sila la private kn blog ini...
      jgn berikan dosa kepada org lain...
      sepatutnya jika diaorg copy paste pun tersebarnya ilmu..
      kamu juga yang dpt pahala...
      tp skrg seperti terbalik..jika org sebarkan, seperti dosa pula diterima...
      jika kamu juga amik bahan dr org dan org itu juga seperti kamu? apakah yg kamu dpt?
      ...

      Delete
    3. kalau saya ambik bahan dri org lain saya akan ltak sumber.

      Delete
    4. ye ek x rujuk apa-apa sumber waktu menulis ni?

      Delete