Total Pageviews

Tuesday, March 31, 2009

13 Mei Menurut Tunku Abd Rahman -Satu Ulasan

PENGENALAN

Setelah hampir 40 tahun berlalu peristiwa berdarah yang melanda negara pada 13 Mei 1969 terus menjadi polemik yang signifikan untuk diperkatakan. Pelbagai pihak mahu tampil dengan bermacam-macam tanggapan, pandangan, malah saranan yang berbeza, yang memungkinkan pelbagai kepentingan dalam pernyataan pendirian tersebut. Peristiwa 13 Mei 1969 adalah rusuhan kaum yang berlaku sebagai kemuncak permasalahan kaum di Malaysia. Tragedi ini yang turut melibatkan kehilangan nyawa serta kemusnahan harta benda dilihat mempunyai kaitan yang rapat dengan “Pilihanraya Umum 1969” dan ia merupakan satu titik hitam dalam sejarah negara Malaysia.
Sebuah buku yang dilancarkan pada Mei tahun lalu dan ditulis oleh Prof. Dr. Kua Kia Soong misalnya (May 13 Declassified Documents on the Malaysia Riot of 1969, SUARAM), mengemukakan salah satu pandangan berhubung peristiwa tersebut. Malah menurut pandangan seorang tokoh sejarah, pendekatan yang digunakan dikatakan menolak bingkai kepercayaan lama bahawa kekacauan 1969 berpunca daripada ketidakseimbangan dalam aspek sosioekonomi.Dikatakan buku tersebut juga mengemukakan dakwaan bahawa wujudnya kapitalis Melayu yang diketuai Tun Abdul Razak yang cuba menjatuhkan Tunku Abdul Rahman menjadi punca utama kepada tecetusnya peristiwa itu.
Sebaliknya apabila kita mengamati buku catatan peribadi Tunku dalam versi “13 Mei Sebelum dan Selepas”, terbitan Kumpulan Utusan dan kini diterbitkan semula sebagai sebuah catatan bersejarah oleh Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd (anak syarikat Kumpulan Utusan), suatu perbandingan dapat dilakukan.
Buku yang menurut Tunku, “hal-hal sebenar yang berlaku menurut pandangan saya, sekalipun ia amat dahsyat,” adalah sebuah catatan hasil renungan Tunku tentang peristiwa itu. Dalam buku ini Tunku memberi gambaran bahawa Peristiwa 13 Mei merupakan akibat daripada pelbagai faktor, termasuk perarakan pengebumian seorang aktivis Parti Buruh yang pernah ditembak mati oleh polis setelah menyeru orang awam memulau pilihan raya pada 10 Mei 1969.
Tetapi, satu isu timbul apabila Tunku sendiri dikatakan tidak terus menerus mempertahankan versinya dalam buku tersebut. Misalnya, dalam suatu wawancara pada April 1979 menjelang ulang tahun ke-10 peristiwa 13 Mei (Nadi Insan, 1 Mei 1979), jelas Tunku menganggap bahawa Timbalan Perdana Menteri Allahyarham Tun Abdul Razak telah mengkhianatinya ( Prakata buku terbitan UP&D).
Sebelum meleraikan persoalan sejauh mana Tunku mempertahankan pandangannya tentang peristiwa berdarah tersebut (terutama catatan Tunku melalui bukunya), sewajarnya buku catatan beliau yang telah diterbitkan semula ini dibaca, diteliti dan dikaji semula.

ANALISIS SEBAB-SEBAB BERLAKU PERISTIWA 13 MEI 1969
KEMPEN PILIHANRAYA YANG AGRESIF
Berdasarkan buku tulisan Tunku, beliau telah memberi beberapa sebab yang menyebabkan terjadinya peristiwa 13 Mei ini berlaku. Sebelum itu ingin saya tegaskan di sini bahawa segala sebab-sebab yang di analisis di sini adalah mengikut pandangan dan kaca mata Tunku Abd Rahman. Pertama sekali Tunku telah menyatakan bahawa walaupun pilihanraya yang jatuh pada 10 Mei 1969 telah berjalan dengan lancar dan penuh dengan suasana yang harmoni dan muhibah, namun begitu terdapat perbuatan-perbuatan liar telah berlaku dan ucapan-ucapan yang tidak bertanggungjawab telah diucapkan.
Menurut Tunku lagi, kempen-kempen yang dijalankan oleh pihak parti pembangkang yang terdiri daripada Parti Gerakan, DAP, PAS, Barisan Sosialis termasuk Parti Buruh dan Parti Progresif Penduduk adalah penuh dengan unsur-unsur perkauman yang melampau serta mereka tanpa segan silu lagi mencaci dan mencerca para pemimpin Perikatan. Selain itu menurut mereka juga menggunakan segala taktik kotor bagi menzahirkan kemenangan mereka dalam pilihanraya umum yang akan berlansung.
Sebagai contoh, Tunku telah menulis bahawa parti PAS misalnya, telah mengubah taktiknya dengan melancarkan kempen mencemarkan nama baik UMNO dengan mempermainkan sentimen bangsa sehebat-hebatnya supaya timbul rasa benci orang ramai terhadap UMNO. Cara seperti ini telah memberi kejayaan yang besar kepada mereka. Menurut Tunku, PAS telah menuduh UMNO sebagai pro-Cina dan menjual negara kepada Cina. PAS menurut Tunku lagi, telah menggunakan cara yang tajam dan halus dalam kempen anti-Cina yang dilancarkan di kawasan-kawasan luar bandar dalam negeri-negeri di sebelah utara pantai barat. Mereka menanamkan perasaan takut dan curiga di hati orang-orang Melayu yang memang berhati bersih dan berpegang kuat kepada agama serta menuduh bahawa Tunku telah memberi peluang dan kemudahan yang banyak kepada orang Cina. Tuduhan liar ini telah dimainkan sepanjang kempen pilihanraya umum ini berlansung.
Bagi membuktikan pernyataan beliau bahawa PAS telah memainkan taktik kotor bagi meraih simpati pengundi yang UMNO ini pro-Cina, Tunku telah mengemukakan bukti bahawa mereka telah menyebarkan gambar-gambar Encik Khir Bin Johari (sekarang digelar Tan Sri ), seorang menteri kabinet dan isterinya memakai pakaian orang Cina Mandarin. Gambar yang diambil di Hong Kong ini menurut Tunku di ambil secara suka-suka untuk di hantar kepada kawan-kawannya sebagai ucapan Selamat Tahun Baru. PAS segera mengambil kesempatan menggunakan gambar ini sebagai satu senjata untuk kepentingan mereka. Gambar ini telah diedarkan dengan seluas-luasnya dalam kalangan orang-orang Melayu sambil memburuk-burukkan Encik Khir dan menuduh beliau menjadi orang Cina.
Pada pandangan Tunku, perbuatan PAS ini merupakan satu contoh yang menunjukkan sejauhmana pihak PAS sanggup melakukan perbuatan-perbuatan kotor dan tipu-helah untuk mencari kemenangan dalam politik. Perbuatan-perbuatan PAS ini menurut Tunku lagi sangat khianat dan liar dan merupakan satu penipuan yang buruk yang belum pernah berlaku dalam sejarah politik Malaysia. Misalnya, tambah Tunku, PAS telah menyebarkan fitnah dengan menyatakan ayah Tunku Abd Rahman adalah seorang siam walaupun mereka tahu Almarhum ayah Tunku adalah Sultan Kedah. Mereka juga turut menuduh Tunku beragama Buddha, mereka turut menyerang peribadi pemimpin-pemimpin UMNO secara kotor.
Apa yang mengejutkan disini tentang pendedahan Tunku adalah tindakan PAS telah meletakkan satu gambar Tunku makan menggunakan chopstick dalam majlis makan Cina. Satu gambar lagi yang menunjukkan seekor anak babi terhidang di tengah-tengah majlis itu. Itu adalah satu fitnah yang sangat berat menurut Tunku dan beliau telah bersumpah tidak memakannya. Beliau menegaskan bahawa sekalipun beliau seorang yang kuat berpegang kepada ajaran-ajaran Islam, tetapi sebagai Perdana Menteri, beliau telah menerima banyak jemputan ke majlis-majlis sosial, malah menikmati makanan Eropah, makanan Cina, atau makanan India.
Tunku mengkritik PAS lagi dengan menyatakan bahawa tujuan PAS ini adalah untuk memecah belahkan undi-undi Melayu supaya calon-calon Perikatan yang bertanding dalam beberapa kawasan yang tertentu tidak akan menang. Tunku juga mendakwa bahawa DAP memberi sumbangan dan bantuan kepada PAS untuk membiayai kempen pilihanraya ini dengan menceritakan bahawa seorang ahli DAP dari Sepang, Selangor telah memberi wang kepada seorang ahli PAS dan calon-calon PAS dan DAP telah melancarkan kerja-kerja mereka dari sebuah pejabat serta pekerja DAP yang terdiri daripada seorang Cina telah menampalkan poster untuk calon PAS itu. Bukti ini pada pendapat Tunku cukup untuk menafikan dakwaan parti itu bahawa mereka sebuah parti Melayu yang berasaskan Islam.
Tunku menambah bahawa sebuah akhbar Hong Kong, The Star telah melaporkan pada 17 Jun bahawa Bank of China di Singapura telah tidak dapat mengimbangkan kira-kira kewangannya kerana beberapa jumlah wang yang besar telah dikeluarkan “ untuk membiayai gerakan-gerakan kekacauan di Singapura dan Malaysia”. Terdapat keterangan-keterangan bahawa wang itu telah diberi kepada beberapa pihak tertentu di Kelantan untuk membiayai perbelanjaan kempen PAS. Kata Tunku, maka terang dan jelaslah orang-orang Melayu yang menyokong PAS tidak berdaya hendak mengeluarkan berjuta-juta ringgit untuk pilihanraya itu.
Tunku menambah bahawa PAS telah menerima wang daripada Komunis dan PAS telah mengambil kesempatan memperdaya dan mempermainkan orang-orang mereka sendiri. Kebanyakan soal-soal agama yang dibangkitkan oleh PAS tidak selaras dengan dengan fahaman Islam zaman tamadun dan bertentangan dengan keadaan yang terdapat di Malaysia.
PENGARUH KOMUNIS
Di dalam buku ini, saya melihat Tunku menganggap pengaruh fahaman Komunis di kalangan sesetengah rakyat pada waktu itu terutamanya kaum Cina(Halaman 8,13 May Sebelum dan Selepas), sebagai salah satu faktor utama yang menyebabkan rusuhan kaum pada 13 Mei boleh tercetus. Pada hemat Tunku, negara-negara Asia pada waktu itu menghadapi ancaman daripada Cina Komunis. Pada pandangan Tunku, walaupun terdapat beberapa sindiran dan kecaman yang dilemparkan kepada beliau seolah-olah ada komunis dalam setiap semak kerana selalu mengungkit-ungkit tentang adanya komunis, namun beliau tidak pernah memperkecil-kecilkan ancaman-ancaman daripada pihak komunis.
Sebelum berlaku peristiwa 13 Mei, terdapat beberapa tanda pengaruh-pengaruh komunis telah meresap ke dalam masyarakat terutamanya golongan belia. Tunku memberi contoh peristiwa yang berlaku di Pulau Pinang pada 19 November 1967 yang menggambarkan sejauh mana penyokong-penyokong komunis yang bergerak secara terang-terangan ataupun sulit, sanggup melakukan sesuatu untuk merosakkan kepentingan Malaysia. Pergaduhan kaum telah timbul di Pulau Pinang apabila Gerakan Belia Mao Tze Tung telah mengambil kesempatan atas langkah kerajaan menurunkan nilai mata wang lama Malaysia sebagai alasan untuk melacarkan hartal. Beberapa pertempuran telah berlaku dan orang-orang melayu menurut Tunku menjadi sasaran serangan mereka. Beberapa orang telah terperangkap, perintah berkurung telah dilaksanakan dan beberapa orang yang melancarkan hartal telah ditangkap.
Pada Jun 1968, 11 orang anggota Parti Komunis dihukum gantung kerana membantu Sukarno, menyerang selatan Malaysia. Perintah gantung yang sama juga telah di tandatangani keatas dua orang Melayu di Perak. Dr Tan Chee Khoon yang pada waktu itu menjadi ahli parlimen Parti Buruh bagi kawasan Batu telah membuat rayuan bagi menangguhkan hukuman gantung ini. Beliau menurut Tunku lagi telah membuat kempen besar-besaran dari rumah ke rumah,pintu ke pintu bagi meraih rasa simpati orang ramai. Anasir-anasir pro komunis menurut Tunku telah menyeru ibu bapa dan waris pemuda yang dihukum bunuh itu supaya mengadakan perjumpaan beramai-ramai untuk membantah namun rayuan mereka ditolak oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Sultan Perak dan Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor. Bila tiba tarikh hukuman gantung dijalankan, di luar pintu penjara Pudu, orang ramai telah berhimpun bagi membantah hukuman ini termasuk belia-belia komunis.
Untuk mengelak timbulnya timbulnya pergaduhan di seluruh negara, Tunku telah menyembahkan rayuan kepada Sultan Perak dan Sultan Johor bagi mengelak terjadi lebih banyak terjadi pertumpahan darah. Tunjuk perasaan itu dapat dihentikan namun terdapat kegelisahan seperti api dalam sekam dan pada pendapat saya ia (peristiwa ini) seolah-olah menjadi bom jangka yang akan menunggu masa untuk meletup sahaja. Pada pendapat Tunku lagi, anasir puak pelampau kiri ini yang sentiasa menunggu kesempatan untuk menimbulkan kekacauan, tidak berlengah-lengah lagi menunjukkan jalan untuk bertindak pada masa hadapan.
Selepas enam minggu komunis ini di ringankan hukuman, pada 13 Oktober, Parti Buruh (Sosialis) telah mengisytiharkan yang mereka akan memulaukan pilihan raya yang akan di adakan pada tahun 1969.
Apabila pilihanraya umum 1969 diisytiharkan, parti-parti pembangkang menurut Tunku telah melancarkan kempen-kempen yang agresif dan menyebabkan pergeseran diantara dua kaum dan perkara ini telah diambil kesempatan oleh pihak komunis untuk menanamkan perasaan perkauman dalam hati dan fikiran orang Cina agar menerima perjuangan mereka. Selain itu menurut Tunku lagi, peranan dan pengaruh kongsi gelap Cina yang menyusup masuk dan mempengaruhi masyarakat telah menambahkan lagi bibit-bibit kebencian antara kaum dan hanya menunggu masa untuk ‘meletup’ seperti bom jangka.
UPACARA PENGKEBUMIAN PAHLAWAN MERAH
Apabila saya membaca dan menganalisis buku tulisan Tunku Abd Rahman ini, saya tertarik dengan bab ini yang ditulis oleh beliau kerana saya berpendapat bahawa peristiwa pengkebumian ‘pahlawan merah’ ini menjadi satu ‘turning point’ atau titik tolak yang penting sebelum berlaku peristiwa 13 Mei.
Peristiwa ini bemula dengan seorang pekerja UMNO, Encik Kasim Omar pada 24 April, kira-kira dua minggu sebelum hari mengundi, beliau dalam perjalanan pulang ke rumahnya telah melihat beberapa orang pemuda berkumpul di kawasan Jelutong, Pulau Pinang. Beliau telah memberhentikan motosikal untuk melihat dan bertanya, namun beliau telah diserang oleh kumpulan yang ada di situ dan beliau telah di bunuh dengan kejam. Setelah itu, mereka telah menconteng cat merah di seluruh badannya. Menurut Tunku Abd Rahman, pembunuh-pembunuhnya terdiri daripada pemuda-pemuda parti Buruh.
Peristiwa pembunuhan ini telah menimbulkan rasa cemas di kalangan pasukan keselamatan kerana kejadian ini dikhuatiri boleh dijadikan penyebab tercetusnya rusuhan kaum. Oleh sebab bimbang berlakunya tindak balas, maka kerajaan telah meminta keluarga si mati bersabar dan mereka telah bersetuju untuk tidak menyebarkan berita pembunuhan itu supaya komunis tidak akan mendapat kesempatan untuk meghalang pilihan raya.
Namun Tunku menambah, sepuluh hari kemudian, pada 4 Mei, enam hari sebelum hari membuang undi, satu kejadian telah berlaku di Selangor. Pada pagi hari itu, tiga orang mata-mata (detektif), yang sedang membuat rondaan telah bertembung dengan sekumpulan pemuda di Kepong. Kumpulan pemuda tersebut sedang menulis dengan cat tanda-tanda di atas jalan raya. Apabila ditegur oleh mata-mata ini, sekumpulan pemuda ini telah membalingkan kayu api, besi-besi tajam, dan ketul-ketul besi. Apabila diusir, pemuda-pemuda tadi melawan dengan bersungguh-sungguh sehingga mata-mata terpaksa melepaskan tembakan untuk mempertahankan diri. Salah seorang daripada mereka telah terkena tembakan dan kemudian mati di hospital. Namanya Lim Soon Seng, berumur 24 tahun.
Walaupun si mati menurut Tunku bukanlah seorang yang terkenal, namun komunis tidak mahu melepaskan peluang yang begitu baik untuk membuat sesuatu yang boleh mendatangkan faedah kepada perjuangan mereka. Polis telah menerima permohonan untuk mengadakan satu perarakan mayat pada 10 Mei, iaitu hari mengundi. Tujuan mereka ini menurut Tunku sangatlah jelas iaitu anasir-anasir ini berniat hendak menimbulkan satu kejadian yang akan menghalang pilihanraya ataupun mencegah pembuangan undi pada hari itu.
Polis telah mengambil keputusan untuk menolak permohonan ini, namun setelah ibu bapa si mati dan para pemimpin parti Buruh bertalu-talu membuat rayuan hendak mengadakan istiadat pengkebumian secara terhormat, maka polis telah bersetuju membenarkan perarakan mayat itu pada 9 Mei. Tunku menambah lagi, tatkala membenarkan, polis telah meletakkan syarat-syarat yang ketat supaya perarakan itu melalui jalan-jalan tertentu dan mereka yang hadir mengadiri perarakan itu hendaklah dihadkan kepada satu bilangan yang kecil sahaja.
Tunku berpendapat bahawa meskipun perarakan mayat berkenaan telah bertukar menjadi perarakan terbebesar yang pernah dilihat di Kuala Lumpur, Tunku menuduh pihak komunislah yang bertanggungjawab kerana ia dilihat bukan sekali-kali merupakan perarakan mayat, tetapi lebih merupakan satu perasaan politik komunis yang habis-habisan liar. Tunjuk perasaan ini telah berlaku sepanjang hari, setelah perarakan berkenaan berjalan sejauh lapan batu dengan beribu-ribu orang mengambil bahagian dan menyaksikannya dari kaki lima ataupun di tepi-tepi jalan. Daripada gambar-gambar yang telah diambil dan laporan-laporan yang dibuat, nyatalah tunjuk perasaan yang besar ini telah dirancang dan diatur dengan rapinya. Nyatalah bahawa daripada syarat Parti Buruh dengan kebetulan telah mendapat ‘pahlawan’, maka komunis dan puak pelampau kiri ini bertujuan hendak mengambil kesempatan itu untuk kepentingan mereka dengan sepenuhnya.
SELEPAS KEPUTUSAN PILIHANRAYA
Dalam pilihanraya umum 1969 ini, Parti Perikatan yang diwakili oleh UMNO, MIC, dan MCA telah tewas dengan teruknya. Walaupun masih dapat memerintah kerajaan persekutuan, mereka telah kehilangan majoriti 2/3 dalam Dewan Rakyat dan telah kehilangan Pulau Pinang kepada DAP. Perikatan juga mengalami kekalahan yang teruk di negeri-negeri seperti Selangor dan Perak, dan ramai menteri-menteri kabinet dalam Perikatan sebelum ini telah tewas. PAS pula mengekalkan pemerintahan di negeri Kelantan.
Rentetan daripada kemenangan ini, pada 12 Mei 1969, Dr Tan Chee Khoon, ahli parlimen kawasan Batu, telah meminta kebenaran polis untuk mengadakan satu perarakan kemenangan dengan Parti Gerakan. DAP pula telah membuat keputusan untuk mengadakan perarakan pada keesokan harinya iaitu Selasa 13 Mei, namun tidak mendapat kebenaran polis oleh itu DAP pun bergabung untuk perarakan dengan Parti Gerakan. Didalam perarakan ini, menurut Tunku Abd Rahman, perasaan gila kemenangan menjadi memuncak dan tidak terkawal dan pihak komunis pasti mengambil kesempatan menghasut dan menghangatkan perasaan mereka yang terlibat di dalam perarakan tadi. Beberapa orang daripada penunjuk perasaan ini telah melaungkan perkataan ‘Melayu mati’, mereka telah bertempik dan bersorak-sorak sambil mengejek-ejek dengan kata-kata yang menghina orang-orang Melayu.
Pada petang selepas perarakan itu berlaku, penunjuk-penunjuk perasaan terdiri daripada orang-orang Melayu telah membuat tunjuk perasaan balas kerana sangat marah dengan tunjuk perasaan anti-melayu dan perbuatan-perbuatan biadap oleh pihak pembangkang. Perarakan ini dikatakan bermula di rumah Menteri Besar Selangor, Dato’ Harun Idris, di Jalan Raja Muda. Pada waktu ini telah terjadi beberapa pergaduhan dan pembunuhan yang membabitkan orang-orang Melayu dan Cina.
SEBAB-SEBAB LAIN
Setelah kita melihat sebab-sebab berlakunya peristiwa 13 Mei dari kaca mata Tunku Abd Rahman, ingin sekali saya huraikan di sini bahawa terdapat banyak sebab-sebab yang boleh dikaitkan dengan tragedi 13 Mei ini boleh berlaku. Pelbagai teori dan pandangan sama ada daripada barat atau pun sarjana tempatan mengaitkan pelbagai peristiwa dan detik-detik penting yang mencetuskan peristiwa ini. Disini saya ingin berkongsi atau memberi pandangan yang perkara-perkara di bawah juga mungkin menjadi penyebab-penyebab lain kepada berlakunya peristiwa 13 Mei.
Layanan Berat Sebelah Oleh Tentera Jepun
Pada zaman pendudukan Jepun, masyarakat Tanah Melayu telah dilayan secara berbeza-beza. Masyarakat Cina umpamanya telah dilayan dengan begitu teruk oleh tentera Jepun berbanding dengan orang-orang Melayu. Keadaan ini berikutan Jepun yang pernah berperang dengan China sebelum ini menyebabkan perasaan saling mendendami antara satu sama lain masih segar dalam ingatan. Layanan berat sebelah ini telah menyemai perasaan permusuhan antara orang-orang Melayu dan Cina (Nazaruddin Mohd Ali,2003).
Dasar Pecah & Perintah Penjajah Inggeris
Dasar penjajah Inggeris yang mengamalkan konsep pecah dan perintah merupakan satu tindakan yang berkesan dan telah menjadi punca wujudnya jurang antara kaum sama ada dari sudut ekonomi dan juga polarisasi kaum. Umpamanya orang-orang Cina tinggal di bandar-bandar menjalankan perniagaan dan juga di kawasan-kawasan lombong sebagai pelombong dan merekalah sebenarnya memiliki aset yang tinggi dalam ekonomi masyarakat Malaysia. Sementara orang-orang Melayu tinggal di luar bandar sebagai petani atau nelayan kecil. Kaum India kebanyakannya pula sebagai buruh kasar kerajaan dan pekerja di ladang (Mohamed Yusoff Ismail ,2003). Pada hakikatnya kegiatan ekonomi orang-orang Melayu dan India adalah bercorak sara diri . Keadaaan ini menyebabkan kedudukan ekonomi masyarakat bumiputera khususnya Melayu menjadi lemah dan ketinggalan. Corak penglibatan ekonomi antara kaum dalam kegiatan ekonomi yang berbeza telah menjadikan kedudukan sosio-ekonomi mereka tidak seimbang
Latar belakang pendidikan yang berbeza
Latar belakang pendidikan yang berbeza juga telah dikaitkan sebagai punca yang membawa kepada meletusnya peristiwa 13 Mei. Hal ini berlaku apabila sistem pendidikan yang wujud di Tanah Melayu sebelum merdeka terbahagi kepada empat aliran mengikut kaum iaitu sekolah Melayu, Cina, India dan Inggeris. Kempat-empat aliran ini mempunyai kurikulum yang tersendiri. Sekolah Melayu menekankan kemahiran menulis, membaca dan mengira sekadar keperluan peringkat rendah sahaja. Manakala kurikulum sekolah Cina dan India pula masing-masing berkiblatkan negeri asal mereka, malah buku-buku teks dan guru-guru yang mengajar juga telah dibawa dari Negeri China dan India .4 Keadaan ini telah mengukuhkan lagi keadaan keperibadian etnik yang telah sedia wujud. Sekolah Inggeris pula hanya dapat dinikmati oleh orang-orang Cina dan India yang tinggal di bandar-bandar sahaja.
Pertelingkahan Parti Politik
Dalam pilihan raya 1964 Parti Tindakan Rakyat (Petir) atau PAP Singapura telah turut serta dalam pilihan raya . Walaupun sudah ada persetujuan antara Tunku dan Lee Kuan Yew sebagai pemimpin PAP yang tidak akan menyertai pilihan raya itu tidak akan menyertai pilihan raya itu .Namun apabila pilihan raya itu berlangsung PAP telah meletak calonnya seramai sembilan orang .
Bagaimanapun setelah Tunku membuat perisytiharan bahawa beliau tetap mengekalkan keanggotaan MCA dalam perikatan, maka PAP yang gagal untuk menyertai Perikatan telah menukar corak kempennya dengan menyerang UMNO dan orang-orang Melayu . Mereka mula membangkitkan kedudukan istimewa orang Melayu, soal bahasa, malahan taraf bumiputera orang-orang Melayu turut dipersoalkan tanpa menghiraukan rasa tersinggung orang-orang Melayu. Sedangkan segala-galanya telah dipersetujuinya sebelum ini . Setelah gagal dalam pilihan raya, PAP telah menubuhkan Konvensyen Perpadauan Malaysia (KPM) dengan disertai oleh Parti Progresif Rakyat dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak. KPM juga telah menyebarkan cogan kata "Malaysia hak orang Malaysia " (Malaysian Malaysia) dengan tujuan supaya hak istimewa orang Melayu atau bumiputera dihapuskan .
Perasaan Tidak Puas Hati Terhadap Hak Istimewa Orang Melayu
PAP telah secara lantang menyuarakan rasa tidak puashati terhadap apa yang disebut sebagai hak istimewa orang Melayu dalam perlembagaan . Mereka mendakwa hak kaum-kaum lain telah diketepikan kononnya mereka telah tersisih daripada keadilan. Isu sebenar yang mencetuskan peristiwa 13 Mei adalah perasaan tidak puas hati terhadap hak istimewa orang-orang Melayu. Namun hakikat sebenarnya kedudukan taraf ekonomi orang Melayu adalah terkebawah berbanding dengan kaum Cina (Jomo KS,Pembangunan Ekonomi dan Kelas Sosial di Semenanjung Malaysia,1998).
Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Rasmi Negara
Isu bahasa juga tidak kurang pentingnya dalam menyumbangkan faktor kepada peristiwa 13 Mei . Berikutan perisytiharan kemerdekaan Tanah Melayu 1957, sebuah perlembagaan Persekutuan telah dibentuk yang antara lainnya menyatakan dengan jelas tentang kedudukan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris adalah sebagai bahasa rasmi negara. Selepas sepuluh tahun merdeka kerajaan akan mengkaji semula tentang kedudukan bahasa Inggeris dengan tujuan untuk mengugurkannya daripada status bahasa rasmi dan hanya bahasa Melayu sahaja yang diiktiraf sebagai bahasa rasmi ( Rahimah Abdul Aziz & Mohamad Yusoff Ismail. 2002). Untuk mencapai tujuan itu, pada 31 Ogos 1967 kerajaan telah mengadakan pelbagai kegiatan bagi tujuan memperluaskan penggunaan bahasa Melayu . Antara kempen yang dijalankan ialah Hari Bahasa Kebangsaan , Minggu Bahasa Kebangsaan dan Bulan Bahasa Kebangsaan . Pelaksanaan penggunaan Bahasa Kebangsaan telah dipelopori oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dengan dipimpim oleh Syed Nasir bin Ismail.
Kelemahan Kepimpinan Tunku Abd Rahman
Prof. Dr. Kua Kia Soong dalam bukunya,(May 13 Declassified Documents on the Malaysia Riot of 1969, SUARAM), melihat peristiwa 13 Mei ini mempunyai perkaitan antara krisis kepimpinan Tunku Abd Rahman dengan Timbalan Perdana Menteri ketika itu Tun Razak. Pada pandangan Dr. Kua, kewujudan kumpulan kapitalis Melayu yang diketuai oleh Tun Razak, golongan pemuda yang dianggap ‘Ultra Malay’ pada waktu itu yang diketuai oleh Dr. Mahathir telah mengkritik kepimpinan Tunku dengan pelbagai kritikan antaranya mengatakan Tunku terlalu berlembut dengan kaum Cina, memberikan pelbagai peluang terhadap kaum Cina dan sebagainya. Inilah peristiwa yang dilihat membawa kepada kejatuhan Tunku dalam karier politiknya.






KESIMPULAN
Peristiwa pahit 13 Mei 1969 bukan sahaja dicatat sebagai sejarah pertelingkahan kaum yang menggariskan sempadan - sempadan yang harus diteliti dan dipelihara oleh semua pihak, malah ia turut memaparkan rahsia-rahsia pembinaan negarabangsa yang mencakupi bidang-bidang politik, sosial dan ekonomi serta betapa pentingnya integrasi nasional ( Development and Population:Critique of Existing Theories,UM,1982). Andai kata petanda-petanda yang diperolehi itu gagal dimanfaatkan sudah tentu cita-cita untuk membina Malaysia sebagai sebuah negara maju dan makmur akan menjadi bayangan sahaja.
















LAMPIRAN





1.1 Suasana pada hari perarakan.
1.2 Penduduk berpindah

1.3Pawagam yang mana orang-orang Melayu dibunuh.
1.4 Kuala Lumpur sehari selepas tragedi 13 Mei.
Sumber :(2bp.blogspot.com dan pesanan-pesanan.blogspot.com)









BIBLIOGRAFI


Jomo, K.S. ,(1998), Pembangunan Ekonomi Dan Kelas Sosial Di Semenanjung Malaysia, Kuala Lumpur:Dewan Bahasa Dan Pustaka.


Mohamed Yusoff Ismail (2003) Perpaduan Negara dan Pembentukan Bangsa Malaysia. Jabatan Perpaduan Negara, Membina Bangsa Malaysia (Jilid 1). Selangor: Jabatan Perpaduan Negara, Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat.


Nazaruddin Mohd Ali (2003). Malaysian Studies. Selangor: Pearson-Prentice Hall.


Prof. Dr. Kua Kia Soong ,(2008) .(May 13 Declassified Documents on the Malaysia Riot of 1969), SUARAM.

Tunku Abd Rahman, ( 2007 ). 13 Mei Sebelum Dan Selepas. Kuala Lumpur: Utusan Publication And Distributors Sdn.Bhd.


Universiti Malaya, (1982), Development And Population: Critique of Existing Theories, Population Studies Unit,Kuala Lumpur: Penerbitan Universiti Malaya.

No comments:

Post a Comment