Total Pageviews

Tuesday, February 7, 2012

Sifat Mahmudah

*Cukup apa yang diberikan
*Tidak pentingkan duniawi
*Menyimpan rahsia
*Lambat marah
*Berani
*Pemaaf
Hindari Sifat Buruk Sangka
PERBUATAN memburuk-burukkan seseorang tanpa mengetahui kebenaran tuduhan dan prasangka itu adalah sifat terkeji. Mereka yang melakukannya adalah dari kalangan yang tidak mencintai keharmonian dan kesejahteraan hidup.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud:
“Awasilah diri kamu daripada berburuk sangka kerana perbuatan itu adalah satu pembohongan besar. Janganlah mencari berita buruk, berhasad dengki, bermasam muka dan marah, sebaliknya jadikanlah diri kamu semua bersaudara mara.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Dalam hadis itu, Baginda mengingatkan umatnya agar sentiasa menjauhi diri daripada terjerumus ke dalam perbuatan keji. Kesan perbuatan itu membawa kepada berlakunya budaya penyebaran surat layang dan fitnah memfitnah dalam masyarakat.
Perbuatan bersangka buruk terhadap orang lain timbul daripada perasaan tidak puas hati dan dengki khianat. Ia melambangkan betapa rendahnya moral si pelaku. Mereka sanggup menghancurkan maruah orang lain dengan menolak segala pertimbangan dan rasional akal yang dianugerahkan Allah kerana diri dikuasai nafsu marah dan dengki khianat berpanjangan.
Kalau pun sesuatu tuduhan itu ada kebenarannya, orang yang mengambil kesempatan berbuat demikian perlu mengadakan bukti kukuh dan munasabah bagi membuktikan kebenarannya. Ia bukan dengan mengada-adakan cerita yang dibawa dari mulut ke mulut untuk dijadikan modal menyebarkan wasangka buruk dan tuduhan palsu kepada seseorang.
Akibat daripada perbuatan itu, perasaan dendam akan terus berpanjangan antara yang menuduh dan yang kena tuduh. Mereka ingin membuktikan tuduhan yang dibuat adalah benar dan orang kena fitnah pula ingin membuktikan dia tidak bersalah.

Allah berfirman bermaksud:
“Wahai orang beriman, jika datang kepadamu orang fasik yang membawa berita, maka periksalah dengan teliti kebenarannya agar kamu tidak menimpakan musibah kepada sesuatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesali perbuatan kamu itu.” (Surah al-Hujurat, ayat 6)
Islam juga melarang umatnya daripada sikap suka mengorek rahsia orang lain. Peribahasa Melayu ada menyebut, ‘jangan jaga tepi kain orang’.

Tetapi, dalam beberapa hal yang membabitkan berlakunya kebatilan dan perkara sumbang dalam masyarakat yang mengundang kemudaratan kepada ajaran agama, maka dibolehkan untuk berbuat demikian.
Tujuannya untuk menegahnya agar tidak terus menular dalam hidup bermasyarakat. Apa yang berlaku dalam masyarakat hari, perbuatan mencari rahsia orang lain bukan bertujuan menegah daripada berlakunya perkara sumbang.
Sebaliknya, bagi mendapatkan rahsia keaiban orang. Ia kemudian dijadikan modal untuk memburuk-burukkan orang itu. Islam menuntut umatnya agar menyembunyikan keaiban orang lain walaupun mengetahuinya. Hal ini kerana Allah akan menyembunyikan keaiban kita dari terhebah kepada orang lain.
Antara sifat manusia yang suka menyebarkan khabar angin dan fitnah adalah hasad dengki dan iri hati. Hasad dengki dalam definisi yang lengkap membawa maksud mencari jalan atau ikhtiar untuk menghilangkan nikmat yang ada pada orang lain.
Rasulullah bersabda bermaksud:
“Berhati-hatilah kamu terhadap hasad dengki kerana ia boleh merosakkan amal kebaikan kamu seperti api memakan sekam.” (Hadis riwayat Muslim).
Sikap itu mungkin membawa kepada keadaan lebih buruk apabila timbul sikap benci membenci, tuduh-menuduh, caci-mencaci dan akhirnya perbalahan dan boleh mencetuskan pembunuhan. Sekiranya tidak ada orang yang sanggup menjadi perantara untuk melerai permusuhan daripada sifat berburuk sangka, penyebaran khabar angin, fitnah serta hasad dengki, tentu membawa kepada berlakunya perkara lebih buruk. Ia boleh meruntuhkan maruah dan peradaban manusia.
Dalam hal ini, kesabaran menjadi asas utama bagi mengelakkan hal yang lebih besar melanda manusia. Bagi mengelakkan diri terbabit dengan sifat keji itu, eloklah beramal dengan beberapa ciri sifat mahmudah seperti disarankan Imam al-Ghazali iaitu:
*Al-qanaah (cukup dengan apa yang diberikan).
*Al-zuhd (tidak mementingkan duniawi).
*Kitmanus-sir (menyimpan rahsia).
*Al-hilm (lambat marah).
*As-syajaah (berani).
*Al-iffah (pemaaf).
Rasulullah bersabda bermaksud:
“Janganlah kamu marah, janganlah kamu berhasad dengki dan janganlah kamu bermasam muka, sebaliknya jadikanlah kamu hamba Allah yang bersaudara.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

No comments:

Post a Comment