1. AKHLAK
1.1 DEFINISI AKHLAK
Mengikut Kamus Dewan terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, mentakrifkan akhlak sebagai budi pekerti, kelakuan, watak, pengetahuan berkaitan kelakuan dan tingkah laku manusia dan sebagainya sama ada baik atau jahat.
Manakala perkataan akhlak menurut Bahasa ialah: Perkataan akhlak berasal daripada perkataan (al-akhlaaku) iaitu kata jama’ daripada perkataan (al-khuluqu) bererti tabiat,kelakuan, perangai, tingkahlaku, matuah, adat kebiasaan, malah ia juga bereti agama itu sendiri. . Perkataan (al-khulq) ini di dalam Al-Quran hanya terdapat pada dua tempat sahaja, antaranya ialah:
Dan bahawa sesungguhnya engkau (Muhammad) mempunyai akhlak yang amat mulia. (Al-Qalam:4).
Sementara perkataan (al-khalqu) bererti kejadian, ciptaan, dan juga bermaksud kejadian yang indah dan baik. Apabila dirujuk kepada kejadian manusia, ia bermaksud struktur tubuh yang badannya yang indah dan seimbang. Jika dirujuk kepada kejadian alam semesta, ia juga membawa erti kejadian atau ciptaan yang indah, tersusun rapi, menurut undang-undang yang tepat. Di dalam Al-Quran terdapat 52 perkataan (Al-khalqu) yang merujuk kepada kejadian manusia, alam sarwajagat dan lain-lain kejadian. Antara lain firman Allah subhaanahu wa taaala:
Sesungguhnya di dalam penciptaan langit dan bumi, silih bergantinya siang dan malam, bahtera yang belayar di laut membawa yang berguna bagi manusia, dan apa yang Allah turunkan dari langit berupa air, lalu dengan air itu Dia menghidupkan bumi sesudah matinya (kering), dan dia sebarkan di bumi itu segala jenis haiwan, dan pengisaran angin dan awan yang dikendalikan antara langit dan bumi, sungguh (terdapat) tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang memikirkan.Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih penggantian malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang yang beraqal. (Iaitu) orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri dan duduk atau dalam keadaan baring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (lantas berkata): Ya Tuhan kami, tidaklah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha suci Engkau maka peliharalah kami daripada siksaan neraka. (Ali-Imran:190).
Manakala pengertian akhlak dari segi istilah pula ialah sifat yang tertanam di dalam diri yang dapat mengeluarkan sesuatu perbuatan dengan senang dan mudah tanpa pemikiran, penelitian dan paksaan. Ibn Miskawaih, ahli falsafah Islam yang terkenal mentakrifkan akhlak itu sebagaikeadaan jiwa yang mendorong ke arah melahirkan perbuatan tanpa pemikiran dan penelitian.
Imam Ghazali RadiAllahuanhu mengatakan: akhlak ialah suatu keadaan yang tertanam di dalam jiwa yang menampilkan perbuatan-perbuatan dengan senang tanpa memerlukan pemikiran dan penelitian. Apabila perbuatan yang terkeluar itu baik dan terpuji menurut syarak dan akal, perbuatan itu dinamakan akhlak yang mulia. Sebaliknya apabila terkeluar perbuatan yang buruk, ia dinamakan akhlak yang buruk.
1.2 PENGERTIAN AKHLAK MENURUT ISLAM
Islam mempunyai dua sumber iaitu Al-Quran dan As-Sunnah yang menjadi pegangan dalam menentukan segala urusan dunia dan akhirat. Kedua-dua sumber itulah juga yang menjadi sumber akhlak Islamiyyah. Prinsip-prinsip dan kaedah ilmu akhlak Islam semuanya didasarkan kepada wahyu yang bersifat mutlak dan tepat neraca timbangannya.
Apabila melihat perbahasan bidang akhlak Islamiyyah sebagai satu ilmu berdasarkan kepada dua sumber yang mutlak ini, dapatlah dirumuskan definisinya seperti berikut:
Satu ilmu yang membahaskan tatanilai, hukum-hukum dan prinsip-prinsip tertentu bagi mengenalpasti sifat-sifat keutamaan untuk dihayati dan diamalkan dan mengenalpasti sifat-sifat tercela untuk dijauhi dengan tujuan membersihkan jiwa berasaskan wahyu Ilahi bagi mencapai keredhaan Allah (Ridwaanullah).
Manakala akhlak pula dapatlah kita rumuskan sebagai satu sifat atau sikap keperibadian yang melahirkan tingkah laku perbuatan manusia dalam usaha membentuk kehidupan yang sempurna berdasarkan kepada prinsip-prinsip yang telah ditetapkan oleh Allah.
Dengan kata lain, akhlak ialah suatu sistem yang menilai perbuatan zahir dan batin manusia baik secara individu, kumpulan dan masyarakat dalam interaksi hidup antara manusia dengan baik secara individu, kumpulan dan masyarakat dalam interaksi hidup antara manusia dengan Allah, manusia sesama manusia, manusia dengan haiwan, dengan malaikat, dengan jin dan juga dengan alam sekitar.
1.3 SKOP DAN RUANG LINGKUP AKHLAK DALAM ISLAM
Dalam hidup ini ada dua nilai yang menentukan perbuatan manusia iaitu nilai baik dan buruk (good and bad), betul dan salah (true and false). Penilaian ini berlaku dalam semua lapangan kehidupan manusia. Apakah yang dimaksudkan dengan baik dan buruk, betul dan salah, benar dan palsu itu? Apakah alat pengukur yang menentukan sesuatu perbuatan itu baik atau buruk, betul atau salah, benar atau palsu? Persoalan-persoalan inilah yang akan dijawab oleh ilmu akhlak.
Matlamat hidup manusia berbeza antara individu dengan individu lain. Ada yang menjadikan kebendaan, harta benda sebagai matlamat yang diburu dalam kehidupan. Ada pula yang menjadikan kebesaran ataupun kekuasaan, ada yang mencari nama dan kemasyhuran. Ada juga yang berusaha mencai ilmu pengetahuan dan ada pula golongan yang memandang remeh terhadap kehidupan tersebut, sebaliknya bersifat zuhud di dunia; memadai dengan kehidupan yang sederhana. Mereka lebih menumpukan peningkatan rohaniyyah dengan mementingkan persoalan hidup akhirat.
Perbezaan pandangan inilah yang meneyebabkan timbulnya beberapa aliran di dalam memahami akhlak. Semua pandangan ini apabila diteliti dengan saksama, tidak dapat dijadikan sebagai matlamat terakhir atau tertinggi yang seharusnya dicapai oleh manusia. Oleh itu, tentulah di sebalik pandangan atau perbezaan ituada satu matlamat hakiki yang wajib dituntut oleh manusia. Apabila sesuatu perilaku atau perbuatan manusia itu selaras dengan neraca timbangan tersebut, itulah yang dikatakan baik dan sebaliknya yang tidak selaras dengan ukuran tersebut itulah yang dikatakan buruk atau jahat dan sebagainya.
Persoalan-persoalan inilah yang menjadi skop perbahasan ilmu akhlak, iaitu ilmu yang menerangkan tentang baik dan buruk, dan juga menerangkan sesuatu yang sepatutnya dilakukan oleh seseorang dalam perjalanan hidupnya di dunia ini. Ilmu ini juga cuba menerangkan matlamat yang seharusnya dituju oleh manusia dan juga menggariskan jalan-jalan yang seharusnya dilalui untuk melaksanakan sesuatu dalam hidup ini.
Jelaslah bahawa fungsi akhlak ialah mengkaji dan meneliti aspek perilaku dan perbuatan manusia. Ia menilai dari segi baik atau buruknya perbuatan itu, apa yang patut dan apa yang tidak patut dilakukan oleh seseorang. Semua yang berlaku pada manusia bersifat tidak iradi (bukan dengan ikhtiar) seperti pernafasan, detik jantung dan sebagainya tidak termasuk dalam skop ilmu akhlak. Jadi tidaklah boleh diberi nilai atau hukuman ke atas perkara ini sebagai baik atau buruk.
Segala tindakan manusia yang dilakukan secara sedar dan dengan ikhtiar, sama ada hubungan dengan Allah, hubungan sesama manusia, hubungan dengan alam sekitar, hubungan dengan diri sendiri dan sebagainya, semuanya mengandungi nilai akhlak. Segala tindakan manusia baik yang berupa peribadi mahupun bersifat sosial, ekonomi, politik, kebudayaan dan sebagainya mengandungi nilai akhlak yang diambil kira dan dipertanggungjawabkan kepada kepada mereka yang terlibat di dalam dalamnya. Nilai akhlak yang buruk akan diberikan balasan siksa.
Jadi bidang akhlak itu hanya meliputi perilaku perbuatan dan tindakan manusia yang dilakukan dalam lingkungan dan suasana berikut:
A. Dilakukan dengan sedar dan niat.
B. Dilakukan denganikhtiar sendiri.
Melakukannya dengan sengaja, tidak dalam keadaan lupa atau bersalah.
2. MORAL
Seterusnya saya akan menerangkan definisi moral.Moral ialah tingkah laku yang telah ditentukan oleh etika. Tingkah laku yang telah ditentukan oleh etika sama ada baik atau buruk dinamakan moral.Moral terbahagi kepada dua iaitu: :
a. Baik; segala tingkah laku yang dikenal pasti oleh etika sebagai baik.
b. Buruk; tingkah laku yang dikenal pasti oleh etika sebagai buruk.
Kemoralan merupakan sesuatu yang berkait dengan peraturan-peraturan masyarakat yang diwujudkan di luar kawalan individu (Dorothy Emmet,1979) mengatakan bahawa manusia bergantung kepada tatasusila, adat, kebiasaan masyarakat dan agama bagi membantu menilai tingkahlaku seseorang Akhlak dalam Islam menjadi penghubung yang erat dengan fenomena keimanan seseorang Islam.
Sebagaimana maksud hadis :
Rasulullah telah ditanya oleh seseorang: “Siapakah orang mukmin yang paling afdhal mempunyai kelebihan imannya? Jawab baginda: Orang yang paling baik akhlaknya”.
2.2 PERBEZAAN DI ANTARA AKHLAK DAN MORAL
Menurut istilah, moral berasal daripada bahasa latin iaitu moralis atau mores iaitu jamak kepada perkataan mos yang bererti kebiasaan iaitu perbuatan, budi pekerti dan perangai. Dictionary of Education menyatakan bahawa moral ialah suatu istilah yang digunakan untuk menentukan batas-batas dari sifat, perangai, kehendak, pendapat atau perbuatan secara layak dapat dikatakan benar, salah, baik, atau buruk.
Manakala perkataan etika pula berasal daripada bahasa Yunani ethikos daripada ethos yang juga membawa erti adapt kebiasaan, perangai dan sebagainya. Kedua-dua istilah ini adalah bermaksud tatasusila, peraturan dan norma-norma yang mengukur tentang baik buruknya, salah atau betulnya sesuatu perbuatan manusia. Ia merupakan tindakan lahiriyyah manusia dalam hubungan sesama manusia berdasarkan kepada pemikiran dan pandangan sesuatu kumpulan, masyarakat, pada sesuatu kumpulan, masyarakat, pada sesuatu masa dan tempat tertentu. Nilai-nilaian bersifat relative, subjektif dan temporal. Oleh itu, ia mungkin berubah menurut sesuatu lingkungan pemikiran, suasana dan tempat.
Secara harfiahnya, kedua-dua istilah tersebut dapatlah disamakan dengan istilah akhlak daripada bahasa Arab yang membawa erti perangai, tingkah laku, perilaku, tatasusila dan budi pekerti.
Islam sebagai agama yang syumul, komprehensif dan sempurna, menjadikan akhlak sebagai satu cabang yang asasi dalam program hidup individu, malah ia merupakan tuntutan wajib bagi setiap orang.
Ilmu akhlak berusaha membina dan memupuk rohaniah manusia,, membina insaniyyah, membentuk tingkah laku dan mengarahkan individu ke arah kebaikan dan ketinggian di samping mengingakan bahaya-bahaya keburukan dan kejahatan supaya masing-masing berusaha menjauhkan diri daripada terjebak dengan pengaruh-pengaruh sifat negatif.
Oleh kerana ilmu akhlak ini menyentuh tentang tingkah laku manusia, tentang ketinggian budi dan rohaniah, ia juga dinamakan Ilmu Al-Suluk (Ilmu Tingkah Laku),Ilmu Hikmah dan Ilmu Tahdhib Al-Akhlak (Ilmu Penceriaan Akhlak). Jika dihubungkan ilmu ini dengan agama, tidak menjadi salah jika kita menamakan ilmu ini sebagai Ilmu Aqliyy.
Untuk mencapai cita-cita pembinaan akhlak dan rohaniah manusia, Islam telah menggariskan beberapa prinsip utama; antaranya lainnya ialah:
a) Beriman kepada Allah
b) Membenarkan risalah Muhammadiyyah dan mengamalkannya serta
menjadikannya uswah hasanah.
c) Membenarkan Al-Quran Al-Karim dan As-Sunnah beserta dengan
mengamalkan dan berakhlak dengan perintah dan arahan kedua-duanya.
d) Niat baik dan benar dalam melaksanakan tingkah laku yang baik
e) Sentiasa prihatin terhadap hukum halal haram
f) Berusaha mencari ilmu yang bermanfaat
g)Keadilan syarak
h) Beriman dengan kebangkitan dan hari akhirat
Demikianlah beberapa prinsip utama yang wajib dijadikan sebagai tempat berpijak bagi seseorang Muslim dalam kehidupan ini. Prinsip-prinsip tersebut jelas kepada kita merangkumi semua aspek rohaniyyah dan jasmaniyyah yang bersifat mutlak dan tepat penilaiannya. Oleh itu, bagi mencapai akhlak yang mulia dan diredhai oleh Allah seseorang itu wajib beramal dan berpegang kepada prinsip-prinsip tersebut. Apa yang penting ialah seseorang itu ialah sentiasa berhati-hati dalam menjalani hidup dengan mengarahkan pemikiran, pandangan dan amlan ke arah yang positif sesuai denganprinsip-prinsip tersebut. Serta sedaya upaya mungkin menghindarkan diri dari sifat-sifat dan gejala negatif.
Sekarang dapat dilihat persamaan antara ilmu akhlak, moral dan etika, iaitu menetukan hukum atau nilai perbuatan manusia dengan keputusan baik atau buruk. Perbezaannya pula terletak pada ukuran masing-masing, di mana ilmu akhlak dalam menilai perbuatan manusia menurut ukuran Al-Quran dan As-Sunnah, etika dengan pertimbangan akal fikiran dan moral dengan adat kebiasaan yang umum berlaku dalam masyarakat.
Dengan ahklak yang baik juga Umat Islam pada hari ini mungkin akan menjadi contoh dan ikutan bagi penganut-penganut agama lain untuk mereka mendekat kan diri dengan Islam dan inilah sebenarnya yang diajar oleh Rasulullah kepada umatnya agar sentiasa menjaga kesyumulan Islam itu sendiri.
3. AKHLAK YANG AGUNG
Bagi seorang Muslim, akhlak yang terbaik ialah seperti yang terdapat pada diri Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam keran sifat-sifat dan perangai yang terdapat pada dirinya adalah sifat-sifat yang terpuji dan merupakan uswah hasanah. Iaitu contoh tauladan terbaik bagi seluruh kaum Muslimin. Allah subhaanahu wa taaala sendiri memuji akhlak Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam di dalam Al-Quran sebagaimana firmanNya:
Dan sesungguhnya engkau (Muhammad) benar-benar berakhlak agung. (Al-Qalam:4).
Dasar akhlak Islamiah yang terkandung didalam risalah yang dibawa oleh Nabi Muhammad S.A.W. Risalah itu bersumberkan Al-Quran dan As-Sunnah yang dimanifestasikan oleh perbuatan dan cara hidup Rasulullah sendiri. Perilaku dan cara hidup Rasulullah ini menjadi ikutan dan tauladan untuk kesempurnaan hidup manusia sama ada dari segi jasmani mahupun rohani.
Untuk mencapai tahap kesempurnaan peribadi yang mulia itu, Allah telah membekalkan manusia dengan persediaan semulajadi iaitu dengan berbagai-bagai naluri dan akal fikiran serta dihiasi pula dengan berbagai-bagai ilmu pengetahuan yang boleh menjadi pedoman hidup demi kepentingan membina tamadun di muka bumi ini.
Oleh kerana kelemahan akal dan keterbatasan menjangkau aspek alam, baik alam realiti mahupun alam ghaib, Allah menurunkan wahyuNya sebagai hidayah mutlak untuk digunakan oleh manusia dalam membina kehidupan dan tamadun serasi dengan nilai-nilai akhlak yang mulia. Di sinilah letaknya peranan risalah yang dibawa melalui Rasulullah sallallahu alaihi wasallam bertujuan untuk membentuk satu dasar akhlak yang mulia dan bersifat mutlak untuk keperluan seluruh manusia.
4. KESYUMULAN AKHLAK ISLAM
Ciri khas akhlak Islam ialah kelengkapan dan luas bidangnya yang meliputi semua aspek perbuatan manusia sama ada mengenai dirinya, orang lain atau yang berkaitan dengan perseorangan atau kemasyarakatan dan kenegaraan. Tidak ada suatu pun perbuatan manusia yang terkeluar dan tidak diatur oleh peraturan akhlak Islam.
Kesyumulan akhlak Islam ialah ia tidak berpisah dengan semua bidang-bidang kehidupan manusia. Ia menetapkan satu neraca terhadap seluruh tindak tanduk manusia. Akhlak Islam tidak mengakui sebarang pemecahan di dalam menetapkan penilaian ini.
Asas keimanan kepada Allah adalah sendi-sendi aqidah Islam, manakala asa akhlak yang terbina di sekitar usaha dan amal untuk memenuhi segala tuntutan yang terkandung dalam sendi-sendi tersebut. Jelas di sini bahawa binaan akhlak yang mulia sebenarnya hanya dapat tegak di atas aqidah yang sahih dan syumul. Sedangkan sesuatu perbuatan yang pada zahirnya dianggap sebagai akhlak yang mulia tidak dapat teguh dan kekal sekiranya tidak ditegakkan di atas asas aqidah.
Besarnya kedudukan akhlak Islam hinggakan hadis-hadis Rasulullah S.A.W. merumuskan kedudukan akhklak sebagai:
Sesungguhnya aku dibangkitkan/diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.
Wahai Rasulullah, apakah Deen itu? Baginda menjawab “ ahklak yang baik”.
Sesunnguhnya orang yang paling baik akhlaknya ialah orang yang paling baik Deennya.
5. CIRI-CIRI AKHLAK ISLAMIAH
Antara cirri-ciri akhlak Islamiyyah ialah:
Bersifat mutlak dan menyeluruh: Akhlak Islamiyyah bersifat mutlak, tidak boleh dipinda atau diubahsuai, dikenakan kepada seluruh individu tanpa mengira keturunan, warna kulit, pangkat, tempat, dan masa.
Melengkapkan dan menyempurnakan tuntutan: Ditinjau dari sudut kejadian manusia yang dibekalkan dengan pelbagai naluri, akhlak Islamiyyah adalah merangkumi semuaaspek kemanusiaan rohaniyyah, jasmaniyyah danaqliyyah, sesuai dengan semua tuntutan naluri dalam usaha mengawal sifat-sifat yang tercela (sifat-sifat mazmumah) untuk kesempurnaan insan, bukan untuk mengawal kebebasan peribadi seseorang.
Bersifat sederhana dan seimbang: tuntutan akhlak dalam Islam adalah sederhana, tidak membebankan sehingga menjadi pasif dan tidak pula membiarkan sehingga menimbulkan bahaya dan kerosakan.
Mencakupi suruhan dan larangan: Bagi kebaikan manusia, perlaksanakan akhlak Islamiyyah meliputi suruhan dan larangan dengan tidak boleh mengutamakan atau mengabaikan mana-mana aspek tersebut.
Bersih dalam perlaksanaan: Untuk mencapai kebaikan, akhlak Islmaiyyah memerintah supaya cara dan metod perlaksanaan sesuatu perbuatan dan tindakan itu hendaklah dengan cara yang baik dan saluran yang benar yang telah ditetapkan oleh akhlak Islamiyyah. Ertinya untuk mencapai suatu matlamat, cara perlaksanaannya mestilah bersih menurut tata cara Islam. Islam tidak menerima falsafah: Matlamat tidak menghalalkan cara.
Keseimbangan: Akhlak dalam Islam membawa kesinambungan bagi tuntutan realiti hidup antara rohaniyyah dan jasmaniyyah serta aqliyyah, dan antara kehidupan dunia dan akhirat sesuai dengan tabii manusia itu sendiri.
6. SIFAT MAHMUDAH
Rasulullah SAW bersabda bermaksud:
“Awasilah diri kamu daripada berburuk sangka kerana perbuatan itu adalah satu pembohongan besar. Janganlah mencari berita buruk, berhasad dengki, bermasam muka dan marah, sebaliknya jadikanlah diri kamu semua bersaudara mara.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Dalam hadis itu, Baginda mengingatkan umatnya agar sentiasa menjauhi diri daripada terjerumus ke dalam perbuatan keji. Kesan perbuatan itu membawa kepada berlakunya budaya penyebaran surat layang dan fitnah memfitnah dalam masyarakat.
Perbuatan bersangka buruk terhadap orang lain timbul daripada perasaan tidak puas hati dan dengki khianat. Ia melambangkan betapa rendahnya moral si pelaku. Mereka sanggup menghancurkan maruah orang lain dengan menolak segala pertimbangan dan rasional akal yang dianugerahkan Allah kerana diri dikuasai nafsu marah dan dengki khianat berpanjangan.
Kalau pun sesuatu tuduhan itu ada kebenarannya, orang yang mengambil kesempatan berbuat demikian perlu mengadakan bukti kukuh dan munasabah bagi membuktikan kebenarannya. Ia bukan dengan mengada-adakan cerita yang dibawa dari mulut ke mulut untuk dijadikan modal menyebarkan wasangka buruk dan tuduhan palsu kepada seseorang.
Akibat daripada perbuatan itu, perasaan dendam akan terus berpanjangan antara yang menuduh dan yang kena tuduh. Mereka ingin membuktikan tuduhan yang dibuat adalah benar dan orang kena fitnah pula ingin membuktikan dia tidak bersalah.
Dalam hal ini, kesabaran menjadi asas utama bagi mengelakkan hal yang lebih besar melanda manusia. Bagi mengelakkan diri terbabit dengan sifat keji itu, eloklah beramal dengan beberapa ciri sifat mahmudah seperti disarankan Imam al-Ghazali iaitu:
*Al-qanaah (cukup dengan apa yang diberikan).
*Al-zuhd (tidak mementingkan duniawi).
*Kitmanus-sir (menyimpan rahsia).
*Al-hilm (lambat marah).
*As-syajaah (berani).
*Al-iffah (pemaaf).
Untuk mencapai tahap kesempurnaan peribadi yang mulia ini, Allah telah membekalkan manusia dengan persediaan semulajadi iaitu dengan berbagai-bagai naluri dan akal fikiran serta dihiasi pula dengan berbagai-bagai ilmu pengetahuan yang boleh menjadi pedoman hidup demi kepentingan membina tamadun di muka bumi ini. Oleh kerana kelemahan akal dan keterbatasan dalam menjangkau aspek alam, baik alam realiti mahupun alam ghaib, Allah menurunkan wahyuNya sebagai hidayah mutlak untuk digunakan oleh manusia dalam membina kehidupan dan tamadun serasi dengan nilai-nilai akhlak yang mulia. Di sinilah letaknya peranan risalah yang dibawa melalui Rasulullah sallallahu alaihi wasallam bertujuan untuk membentuk satu dasar akhlak yang mulia dan bersifat mutlak untuk keperluan seluruh manusia.
Sebagai mahkluk ciptaan Allah, dan beragama Islam, kita hendaklah sentiasa mengamalkan segala sifat-sifat mahmudah dan sentiasa menjadikan akhlak Rasulullah sebagai ikutan bagi kita mengaplikasikannya di dalam kehidupan seharian.
Sebagai seorang guru pula, adalah menjadi amanah dan tanggungjawab bagi kita untuk mengajar anak-anak didik kita tentang nilai dan akhlak yang baik dan mulia bagi membentuk masyarakat madani selaras dengan konsep ‘Baldatun Tayyibatun Wa Rabbun Ghafur’.
BIBILIOGRAFI
Apa Kata Islam Mengenai Hubungan Sosial, Zulkifly Muda, PTS Publications & Distributors Sdn Bhd
Aidit Ghazali (2001). Islamic thinkers on economic, administration and transaction.
Kuala Lumpur: Quil Publishers.
Al-Quran dan Terjemahan
Mohd. Yusof Hussin (1995). Komunikasi kepimpinan dari perspektif Islam. dlm.
Kecemerlangan Pentadbiran, Dasar dan Amalan Dalam Islam. INTAN.
Ilham Bahan Kendiri PJJ
No comments:
Post a Comment