Total Pageviews

Monday, March 30, 2009

KAITAN MATLAMAT DAN OBJEKTIF SUKATAN PELAJARAN SEKOLAH RENDAH DENGAN FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN

1.1 PENGENALAN

1.1.1 Falsafah Pendidikan Kebangsaan
“ Pendidikan di Malaysia ialah suatu usaha berterusan ke arah memperkembang potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani, berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini bertujuan untuk melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggung jawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberikan sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.”
Meneliti setiap kata yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) di atas, dapat kita perhatikan bahawa matlamat atau hasrat kerajaan dalam sektor pendidikan di negara ini adalah untuk melahirkan individu atau modal insan yang seimbang dalam semua segi sama ada intelek, rohani, emosi mahupun jasmani.( Roselan Baki,2003). Bagi mencapai matlamat ini, sudah pastilah tanggung jawab dipikul oleh mereka yang bergelar guru dalam menerapkan segala aspek dalam kalangan pelajar bagi melahirkan modal insan yang unggul dan dalam melaksanakan tanggungjawab ini, sudah pastilah penekanan dalam aspek penyampaian ilmu melalui pengubalan kurikulum terpaksa dilakukan.
(http//:www. myais.fsktm.um.edu.my).




1.2 KAITAN MATLAMAT DAN OBJEKTIF

Pendidikan peringkat rendah adalah pendidikan yang bertujuan untuk melahirkan insan yang seimbang serta berkembang secara menyeluruh dan bersepadu dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani selaras dengan hasrat Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah dan Falsafah Pendidikan Negara. Pada peringkat ini, Bahasa Melayu diajarkan sebagai mata pelajaran wajib, selaras dengan status Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara. Bahasa Melayu perlu dikuasai pada peringkat awal bagi membolehkan murid-murid berkomunikasi dan menimba ilmu pengetahuan, seperti kata pepatah Melayu, melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Sekolah Rendah telah memuatkan senarai kemahiran asas berbahasa dan tatabahasa yang perlu dikuasai oleh murid dari Tahun 1 hingga Tahun 6. Kemahiran-kemahiran berbahasa ini meliputi kemahiran lisan (mendengar dan bertutur), membaca, dan menulis. Tatabahasa pula meliputi aspek morfologi dan sintaksis bahasa Melayu. ( Abdullah Hasan,1996).
Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Sekolah Rendah ini pula, mengandungi perincian, penjelasan serta huraian tentang Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu. Di dalam Huraian Sukatan Pelajaran ini, dimuatkan senarai kecekapan berbahasa dalam kemahiran mendengar dan bertutur, membaca, menulis, tatabahasa, penjodoh bilangan, peribahasa, dan perbendaharaan kata yang sesuai bagi peringkat persekolahan murid (Roselan Baki,2003).
Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu untuk Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina (C) dan Tamil (T) disempurnakan dengan mengambil kira tahap kebolehan dan kemampuan murid di SJK(C) dan (T). Oleh itu, Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu untuk SJK(C) dan (T) agak berbeza daripada Sekolah Kebangsaan dari segi huraian, senarai kemahiran berbahasa, contoh-contoh peribahasa, tatabahasa, dan jumlah perbendaharaan kata yang dicadangkan.

Huraian Sukatan Pelajaran ini merupakan satu cadangan, dan guru-guru tidak seharusnya terikat kepada cadangan-cadangan yang dikemukakan. Sekiranya didapati ada di antara cadangan-cadangan ini tidak sesuai dengan keadaan bilik darjah, guru-guru boleh mengubah dan menyesuaikannya dengan kebolehan dan kemampuan murid. Huraian sukatan pelajaran ini juga boleh digunakan untuk merancang pengajaran dan pembelajaran mengikut penggal, mingguan, dan harian di dalam bilik darjah (Prof. Madya Dr. Nuraini Yusoff,2003).

1.2.1 MATLAMAT
Matlamat mata pelajaran Bahasa Melayu sekolah rendah ialah untuk melahirkan murid yang berketrampilan berbahasa dan menghargai serta menghayati bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara, bahasa perpaduan dan bahasa ilmu, sesuai dengan semangat Rukun Negara dan Falsafah Pendidikan Negara iaitu usaha yang berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu dan usaha ini adalah semata-mata bertujuan untuk melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan dan berakhlak mulia.

1.2.2 OBJEKTIF
Untuk melihat sama ada objektif Sukatan Pelajaran dapat dikaitkan dengan Falsafah Pendidikan Negara, adalah terlebih elok bagi kita melihat dahulu apakah objektif Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu yang digubal oleh Kementerian Pelajaran untuk rakyat Malaysia. Dengan ini barulah kita dapat melihat adakah Sukatan Pelajaran yang digubal selama ini mempunyai kaitan atau menjiwai ‘roh’ dan semangat Falsafah Pendidikan Negara. Jika ia mempunyai kaitan, kita telah pun berada di jalan yang betul dalam usaha untuk memartabatkan semangat Falsafah Pendidikan melalui Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu yang di ajar di sekolah rendah di Malaysia. Cuma beberapa pendekatan yang terbaik perlu diberi tambah nilai dari masa ke semasa untuk memantapkan pengakaran dan pembelajaran Bahasa Melayu.
Menurut kandungan Sukatan Pelajaran, setelah mengikuti pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu di sekolah rendah, murid-murid dapat:

 Mendengar, memahami dan menghayati pertuturan yang terdapat dalam kehidupan sehari-hari;
 Bertutur dengan petah dan mengeluarkan buah fikiran yang bernas serta menggunakan bahasa yang sesuai dan bertatasusila;
 Membaca untuk memahami isi bacaan yang sesuai dengan kematangan;
 Menjadikan pembacaan sebagai satu kebiasaan dan amalan bagi mendapatkan pengetahuan dan hiburan;
 Menulis pelbagai jenis karangan dan surat kiriman mengikut tajuk dan format yang betul;
 Memahami dan mengisi borang yang sesuai dengan betul;
 Menghargai dan menghayati nilai-nilai estetika dalam karangan prosa dan puisi;
 Menggunakan bahasa Melayu untuk memperoleh pelbagai ilmu;
 Menggunakan bahasa Melayu yang betul dalam lisan dan penulisan;
 Memberi makna dan menggunakan peribahasa dalam konteks yang betul dan sesuai; dan
 Menggunakan Bahasa Melayu dengan berkesan untuk berkomunikasi antara ahli masyarakat yang berbilang keturunan.

Strategi pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu di peringkat sekolah rendah menekankan penggabungjalinan, penyerapan, penilaian, pengayaan, dan pemulihan. Ini selaras dengan usaha memenuhi konsep bersepadu dalam Falsafah Pendidikan Negara. Namun demikian, guru-guru adalah digalakkan untuk menggunakan pelbagai kaedah mengajar yang sesuai dengan kebolehan murid (Roselan Baki,2003). Keberkesanan pengajaran dan pembelajaran adalah bergantung kepada pengolahan teknik dan penggunaan bahan bantu mengajar yang dapat merangsang dan menggalakkan murid-murid berkomunikasi, berinteraksi dan berfikir.

1.3 STRATEGI PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BAHASA MELAYU DAN KAITANNYA DENGAN FALSAFAH PENDIDIKAN
Sebelum kita melihat dengan lebih lanjut kaitan antara Fasafah Pendidikan Negara dengan Strategi Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu, terlebih dahulu ingin saya jelaskan apakah bentuk-bentuk strategi pengajaran dan pembelajaran.

1.3.1 PENGGABUNGJALINAN
Penggabungjalinan memainkan peranan penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Melalui proses ini, beberapa kemahiran dapat dukuasai serentak. Cara ini juga dapat mengelakkan kebosanan dalam proses pembelajaran. Kemahiran- kemahiran boleh digabungjalinkan, sama ada kemahiran yang terdapat dalam kemahiran berbahasa, atau kemahiran daripada mata pelajaran lain.

1.3.2 PENYERAPAN
Dalam pengajaran Bahasa Melayu, unsur-unsur ilmu dan nilai-nilai murni juga boleh diserapkan. Penyerapan ini mengandungi pelbagai bidang ilmu seperti Sains, Matematik, Sejarah, dan lain-lain.

1.3.3 PENGAYAAN
Program pengayaan perlu diberi penekanan dalam Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah kerana keadaan murid yang berbeza dari segi kebolehan, keupayaan, bakat, dan minat. Murid ini hendaklah diberikan bahan-bahan yang berbeza-beza untuk digunakan secara bersendirian atau dengan bimbingan guru. Bahan-bahan seperti bahan bacaan tambahan, kad-kad kerja, permainan, dan bahan-bahan aktivit boleh diberikan kepada murid yang telah menguasai kemahiran-kemahiran dalam jangka masa yang telah ditetapkan atau lebih awal daripada jangka masa yang ditentukan.

1.3.4 PEMULIHAN
Program pemulihan disediakan untuk membantu murid menguasai kemahiran-kemahiran asas yang belum dapat dikuasai dalam tempoh masa yang telah ditetapkan lebih sukar. Bahan-bahan untuk program ini terdiri daripada kad-kad, carta, bahan maujud, alat permainan, dan lain-lain yang boleh digunakan berperingkat-peringkat daripada yang mudah kepada yang lebih sukar. Perlaksanaan program ini adalah mengikut kadar kemampuan murid menguasai sesuatu kemahiran.

1.3.5 PENILAIAN
Penilaian dianggap sebagai sebahagian daripada proses pengajaran dan pembelajaran. Penilaian merupakan suatu aktiviti untuk mendapatkan maklumat yang berguna bagi menentukan pencapaian sesuatu objektif pengajaran atau pembelajaran. Oleh itu, penilaian perlulah dijalankan berterusan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Hanya melalui proses penilaian berterusan dapat dipastikan jenis tindakan susulan yang perlu diambil ke atas seseorang murid, sama ada untuk menjalankan pemulihan atau pengayaan. Dan setelah itu barulah dapat dipastikan jenis aktiviti pemulihan atau aktiviti pengayaan yang sesuai bagi murid. Dengan cara yang sedemikian, selain mengetahui tahap pencapaian, kelemahan murid dapat dipulihkan sebelum kelemahan-kelemahan pembelajaran terkumpul di tahap yang lebih tinggi.
Setelah melihat objektif dan matlamat sukatan pelajaran Bahasa Melayu secara jelas seperti diatas, apakah kita dapat menghuraikan apakah terdapat perkaitan antara sukatan pelajaran dengan Falsafah Pendidikan Negara?.
Dengan merujuk kepada definisi Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR ), matlamat serta ciri-ciri KBSR itu sendiri, saya dapati KBSR akan mampu mencapai matlamat Falsafah Pendidikan Negara. Falsafah Pendidikan Negara menyatakan bahawa Pendidikan itu suatu proses yang berterusan. Sebagai saluran Pendidikan pada peringkat awal, KBSR sememangnya menggalas tugas yang amat berat. Ini kerana pada peringkat permulaanlah segalanya bermula. KBSR akan memastikan Pendidikan yang diberikan kepada pelajar memuaskan dan menepati ciri-ciri yang diinginkan. Pendidikan awal adalah penting kerana ia membentuk asas sahsiah yang akan terus berkembang hingga ke akhir hayat nanti. Oleh itu, KBSR menekankan kemahiran asas 3M iaitu membaca, menulis dan mengira. Dengan kemahiran-kemahiran asas yang teguh dan mampat, segala proses Pendidikan yang akan ditempuhi oleh pelajar menjadi mudah (Abdullah Hasan,1996).
KBSR menitikberatkan soal nilai-nilai murni dan semangat patriotisme dalam proses pengajaran dan pembelajarannya. Dengan ini, Falsafah Pendidikan Negara yang menginginkan insan yang harmoni dan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani akan tercapai. Dalam proses pengajaran dan pembelajaran, KBSR bukan sahaja menekankan soal penyampaian ilmu pengetahuan bahkan setiap guru dikehendaki menyelitkan penerapan nilai-nilai murni kepada pelajar semasa proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Selain itu, dalam seminggu hari persekolahan akan terdapat 2 masa untuk matapelajaran Pendidikan Jasmani dan Kesihatan. Ini melambangkan KBSR amat menitikberatkan soal kesihatan para pelajar supaya pelajar tidak hanya memerah otak dalam sesi pembelajaran matapelajaran lain tetapi mereka juga boleh berekreasi dan menenangkan fikiran dengan bersenam dan bersukan.
Seterusnya, unsur Falsafah Pendidikan Negara ingin melahirkan rakyat yang memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara. Sehubungan dengan itu, KBSR menekankan kemahiran berfikir dalam sistem penddidikan pada peringkat awal. Melalui ciri ini pelajar bebas meluahkan pendapat dan mencipta sesuatu yang baru. Secara tidak langsung hasil kretiviti pelajar akan terus digilap dan dihargai. Oleh itu, maka lahirlah generasi yang mampu memberi sumbangan dalam pelbagai bidang.




2.0 FUNGSI PENGAJARAN SISTEM EJAAN BAHASA MELAYU DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

2.1 SEJARAH EJAAN RUMI BAHASA MELAYU
Perkembangan dalam sistem ejaan adalah sebahagian daripada perkembangan dalam bahasa Melayu di Tanah Melayu dan di Kepulauan Timur Belanda. Keperluan kepada sistem ejaan Rumi menjadi penting pada awal abad ke- 20 kerana ejaan Jawi tidak dapat menggambarkan sistem bunyi bahasa Melayu yang sebenar bagi mereka yang tidak dapat memahaminya. Ianya menjadi lebih penting apabila bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa pengantar dalam sistem sekolah rendah atau sekolah dasar. Oleh itu, penyusunan satu sistem ejaan Rumi yang seragam dan lebih mudah diperlukan untuk menggantikan tulisan Jawi pada masa itu. Bagaimanapun, pengkajian tentang sistem bunyi bahasa Melayu sering dikelirukan dengan pengkajian tentang sistem tulisan dan sistem ejaan. Grafem- grafem atau huruf- huruf yang berbagai- bagai yang digunakan sebagai lambang bagi bunyi- bunyi dalam bahasa Melayu, termasuk bunyi- bunyi serapan atau pinjaman daripada bahasa Sanskerta, Arab dan Parsi yang digunakan dalam tulisan- tulisan oleh orang- orang Inggeris dalam abad ke- 19 membuktikan wujudnya ketidakseragaman dalam ejaan (Roselan Baki,2003).
Pada tahun 1902, perancangan ejaan yang pertama di Tanah Melayu dimulakan apabila kerajaan Negeri- negeri Melayu Bersekutu mengambil inisiatif menubuhkan sebuah jawatankuasa ejaan yang diketuai oleh R.J. Wilkinson, Nazir Sekolah- sekolah pada masa itu. Sistem ejaan yang dikenal sebagai "Ejaan Wilkinson" itu dirumuskan dengan nama Romanised Malay Spelling dan diterbitkan pada bulan Oktober 1904 dalam bentuk sebuah laporan. Ejaan Wilkinson digunakan di semua sekolah umum. (http//:www. Infolib.bernama.com/equip-bernama/images/nota_ejaan.pdf).

Pakatan Belajar- Mengajar Bahasa yang ditubuhkan pada tahun 1888 di Johor telah memainkan peranan untuk menggalakkan penggunaan bahasa Melayu di sekolah dan dalam masyarakat. Usaha ini telah diteruskan dengan penubuhan Maktab Guru Perempuan di Melaka pada tahun 1900. Institusi- institusi inilah yang menjadi pengasas perancangan penggunaan bahasa Melayu baku yang kemudiannya diperkembang oleh Maktab Perguruan Sultan Idris (SITC) di Tanjung Malim sejak tahun 1922.( Raja Masittah Raja Ariffin, 1997). Perkembangan dan pemantapan sistem ejaan Rumi berlaku seiring dengan perkembangan bahasa Melayu dalam pendidikan dalam zaman penjajahan itu. Beberapa buah buku bahasa dalam tulisan Rumi dan tentang tulisan Rumi yang memperluas penggunaan sistem Ejaan Sekolah yang berasaskan Ejaan Wilkinson telah disusun dan diterbitkan oleh beberapa orang tokoh bahasa dan pendidikdi SITC. Di antaranya ialah : (i) Kitab Loghat Melayu susunan R.O. Winstedt dan Ibrahim Dato’ Muda Linggi (1921), (ii) Kitab Pelita Mengarang (Rumi) susunan O.T. Dussek dan Mohd. Hashim (1923), dan (iii) Kitab Kumpulan Nama Melayu susunan Ibrahim Dato’ Muda Linggi (1924).( Ismail bin Dahaman, 1996).
Sistem ejaan Rumi yang terkenal sebelum penggunaan sistem ejaan baru tahun 1972 ialah "Sistem Ejaan Rumi Za’ba" yang juga dihasilkan daripada SITC. Sistem Ejaan Rumi Za’ba disusun dan diperkemas dan terdapat dalam beberapa buah buku pedoman bahasa terbitan Pejabat Karang Mengarang SITC seperti : (i) Ilmu Bahasa Melayu Penggal 1 (1926), (ii) Pelita Bahasa Melayu Penggal 1 (1941), dan (iii) Daftar Ejan Melayu (Jawi- Rumi) (1949), dengan judul "Petua- petua Ejaan Rumi", yang dikarang oleh Za’ba.
Selain daripada sistem ejaan Za’ba, dalam zaman pendudukan Jepun tahun 1942- 1945, terdapat penggunaan "Ejaan Fajar Asia". Ianya berbeza sedikit daripada ejaan Za’ba di Tanah Melayu dan ejaan van Ophuijsen di Indonesia. Angkatan Sasterawan ’50 kemudiannya menjadikan Ejaan Fajar Asia ini sebagai ejaan rasmi mereka. Selain daripada itu, terdapat juga "Ejaan Bebas" yang berupa ejaan Rumi tanpa sistem apa-apa, atau sistem yang menyatukan ciri-ciri ejaan daripada sistem- sistem yang ada, termasuk daripada sistem ejaan di Indonesia. Ejaan Bebas digunakan dengan agak meluas dalam urusan bukan rasmi dan dalam beberapa penerbitan akhbar, majalah dan buku.( Ismail bin Dahaman, 1996).
Ejaan Rumi Baharu tahun 1972 ialah hasil daripada pemikiran yang matang yang berlandaskan prinsip-prinsip perancangan bahasa yang baik. Ejaan Rumi Baharu merupakan penyataan pertama daripada perancangan korpus pada peringkat supranasional yang menjadi asas bagi pembinaan dan pengembangan bahasa Melayu serantau seterusnya. Sebagai sistem ejaan yang dirancang untuk keperluan dua buah masyarakat bahasa yang berlainan latar belakang sosiolinguistik dan sejarah pertumbuhannya, Ejaan Rumi Baharu dirumuskan sedemikian rupa supaya dapat diterima oleh semua golongan pengguna kedua-dua bahasa Melayu dan bahasa Indonesia.( Ismail bin Dahaman, 1996).
Rumusan Ejaan Rumi Baharu memperlihatkan prinsip-prinsip linguistik, ekonomi, kesederhanaan, kejelasan dan fleksibiliti serta taraf standardisasi yang tinggi dan lebih nyata berbanding dengan sistem-sistem yang terdahulu. Ejaan Rumi Baharu tidak syak lagi merupakan wahana yang cukup mudah dan cekap bagi penulisan Rumi bahasa Melayu di rantau ini untuk beberapa dasawarsa yang akan datang. (http//:www. Infolib.bernama.com/equip-bernama/images/nota_ejaan.pdf).

2.2 FUNGSI DAN KEGUNAAN SISTEM EJAAN BAHASA MELAYU DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN
Sejak merdeka, dengan terlaksananya Dasar Pendidikan Kebangsaan pada Abdul Rahman Yaakub sebagai Menteri Pendidikan, Bahasa Melayu telah digunakan sepenuhnya, untuk menyampaikan pendidikan rendah, menengah dan tinggi. Keutuhan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pendidikan memang jelas kelihatan pada hari ini apabila Bahasa Melayu mampu menyampaikan ilmu dengan berkesan. (Abdullah Hassan,1989). Bahasa Melayu mengalami proses pemodenan daripada segi pengistilahan, pengekodan, dan penyeragaman. Ini memungkinkan Bahasa Melayu dapat menjalankan pelbagai tugas dan fungsi sesuai dengan tarafnya sebagai bahasa kebangsaan, bahasa pengantar, bahasa rasmi, dan bahasa ilmu. Antara fungsi pengajaran sistem ejaan Bahasa Melayu dalam pengajaran dan pembelajaran ialah:

2.2.1 Bahasa Ilmu
Sistem ejaan Bahasa Melayu yang disusun akan membentuk satu bentuk dan rantaian bahasa yang boleh digunakan didalam pendidikan. Sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah, ia memperkatakan segala ilmu pengetahuan, Bahasa Melayu seharusnya di perkembangkan dan di sesuaikan dengan kehendak-kehendak baru.
Sistem ejaan dalam Bahasa Melayu digunakan untuk menyampaikan pengetahuan moden dalam berbagai-bagai bidang seperti sains dan teknologi, undang-undang, kedoktoran, kejuruteraan, sastera dan sebagainya. Dalam bidang perubatan misalnya, pelbagai istilah telah diwujudkan dalam sistem ejaan Bahasa Melayu. Antaranya ialah dalam bidang anatomi, mikrobiologi, fisiologi, biokimia, ginekologi dan sebagainya. Dalam bidang kejuruteraan pula, terhasil berbagai-bagai istilah dalam Bahasa Melayu melalui sistem ejaan dalam bidang kejuruteraan awam, mekanikal, kimia, elektrik, kejuruteraan teknologi maklumat, dan sebagainya.

2.2.2 Alat Penulisan
Fungsi pengajaran sistem ejaan Bahasa Melayu dalam pengajaran dan pembelajaran dapat membentuk murid-murid memahami dan menggunakan Bahasa Melayu sebagai alat penulisan dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah (Raja Masittah Raja Ariffin, 1997). Melalui sistem ejaan, nilai kefahaman pelajar terhadap kesantunan berbahasa dan ditambah lagi dengan aktiviti pengayaan yang dibuat oleh guru dapat memahirkan murid menulis dengan baik dan teratur dan jika sistem ejaan ini digunakan sepenuhnya, maka tidak hairanlah jika sistem ejaan ini akan mampu berfungsi sebagai alat penulisan yang baik dan berkesan.

2.2.3 Pemahaman Tatabahasa
Didalam penyelarasan dan perlaksanaan ejaan sistem rumi, sistem ejaan Bahasa Melayu membentuk satu sistem atau struktur tatabahasa yang jitu dan dengan kepelbagaian bentuk tatabahasa yang dibuat, dapat memberi lebih kefahaman tatabahasa kepada pelajar (Raja Masittah Raja Ariffin, 1997).
Contoh sistem ejaan seperti:

(i) Huruf vokal: a, e, i, o, u
(ii) Huruf diftong: ai, au, oi
(iii) Huruf konsonan: huruf selain huruf vokal
(iv) Huruf konsonan gabungan: gh, kh, ny, ng, sy
Sistem ejaan ini bertindak dan berfungsi sebagai asas kepada pemahaman tatabahasa kepada murid-murid.

2.2.4 Sebagai Unsur Gaya Dalam Penulisan
Gaya bermaksud bahawa ada sesuatu unsur atau gabungan unsur-unsur tertentu yang memberi kualiti terhadap bahasa semasa di dalam pertuturan ataupun tulisan. Ada unsur-unsur seperti kesederhanaan di dalam penggunaan bahasa yang membawa keindividulan bahasa, tuturan, atau tulisan tersebut (Abdullah Hassan 1987).
Di dalam pengertian yang lebih luas, gaya akan mencakupi unsur-unsur yang membezakan seseorang penutur atau penulis daripada yang lain. Unsur-unsur yang digunakannya itu akan bersifat individu kesannya, sehingga kita dapat mengenal gaya Shahnon Ahmad, Usman Awang, Keris Mas, Kemalawati, dan lain-lain. Bahasa bukan sastera lebih banyak mempunyai unsur ini sekiranya diteliti (Abdullah Hassan 1987).


3.0 BINCANGKAN KEPENTINGAN KELAS BESTARI SERTA PENGAPLIKASIAN ICT DI SEKOLAH
3.1 PENDAHULUAN
Program pendidikan di negara ini, khususnya bagi peringkat sekolah digubal berlandaskan kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menggambarkan bahawa pembangunan insan itu perlulah seimbang dan menyeluruh perkembangannya dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Dalam usaha untuk membina insan seperti yang dihasratkan, ilmu yang disampaikan perlu juga sesuai dengan perkembangan semasa dan keperluan negara.
Teknologi Maklumat ialah satu bidang ilmu yang berasaskan pelbagai disiplin terutamanya komunikasi dan sistem komputer. Bidang ini merupakan kajian tentang penggunaan proses dan perkakasan dalam menangani maklumat yang pelbagai bentuk. Bidang ilmu ini adalah antara bidang ilmu yang paling pesat berkembang dan takrifan serta skopnya sentiasa disesuaikan seiring dengan perkembangan bidang ilmunya. Bidang teknologi maklumat digunakan sebagai satu sumber utama di dalam di dalam pengaplikasian Sekolah Bestari yang menjadi salah satu 'flagship' dalam Koridor Raya Multimedia (MSC) yang harus dilaksanakan menjelang tahun 2000 (Md. Sidek Abd Hamid 1993).
Institusi pendidikan adalah medium penting untuk mengukuhkan lagi nilai dan keperluan Bahasa Melayu di kalangan generasi muda bangsa Melayu melalui sistem pendidikan yang mengambil kira penyerapan dan penyebatian kemajuan dan perkembangan ICT. Misalnya, generasi muda akan mempunyai peluang untuk menghalusi Bahasa Melayu ke dalam jiwa mereka melalui kegiatan dan aktiviti bercorak Bahasa Melayu dengan menggunakan teknologi maya yang diasaskan oleh kemudahan internet. Adalah disedari umum akan dominasi Bahasa Inggeris dalam internet yang menjadi pencetus teknologi dan ilmu pengetahuan pelbagai bidang yang diinginkan oleh masyarakat dunia. Dalam hal ini, masyarakat mestilah tegas dalam menentukan kedudukan Bahasa Melayu dan peranan bahasa yang dipelajari dalam sistem pendidikan mereka. Jika bahasa asing yang dipelajari memerlukan makmal dan program khusus dalam menguasainya maka tidak perlu diketepikan juga kepentingan penyediaan prasarana dan program yang sedemikian rupa kepada Bahasa Melayu dalam sistem pendidikan.
Penggunaan Bahasa Melayu dalam kegiatan teknologi maklumat masih belum mencapai tahap yang memuaskan. Perkara ini dapat dilihat dalam kegiatan bercorak pendidikan seperti persidangan teknologi maklumat di mana tahap penggunaan Bahasa Melayu amat sedikit dan kurang mendapat sambutan daripada orang ramai. Ini disebabkan oleh sebilangan anggota masyarakat berasa lebih selesa dan lebih maju jika menggunakan medium Bahasa Inggeris. Sementelahan, penggunaan Bahasa Melayu dalam kegiatan teknologi maklumat dianggap tidak bertaraf antarabangsa kerana penggunaan Bahasa Inggeris dianggap mempunyai nilai ekonomi dan sosial yang lebih tinggi berbanding dengan Bahasa Melayu.

3.2 KEPENTINGAN KELAS BESTARI SERTA PENGAPLIKASIAN ICT DI SEKOLAH
Kelas Bestari mempunyai konsep yang berlainan daripada Sekolah Bestari, di mana Kelas Bestari tidak semestinya wujud di Sekolah Bestari, malah ia boleh wujud di sekolah di kawasan pedalaman sekalipun jika guru yang mengajar itu bijak menggunakan alatan ICT yang betul dan menggunakannya dengan berkesan sebagai alat pengajaran dan pembelajaran didalam kelas.
Multimedia boleh digunakan sebagai media pendidikan yang berkesan. Kelebihan multimedia berbanding dengan media-media lain adalah jelas. Multimedia mampu merangkumi pelbagai media: teks, suara, imej, grafik, dan animasi dalam satu persekitaran digital. Multimedia membolehkan interaktiviti dengan pengguna. Kewujudan multimedia dalam persekitaran pendidikan telah menunjukkan suatu perkembangan baru yang diharapkan mampu membantu dunia pendidikan menjadi lebih berkesan melalui proses pengajaran dan pembelajaran. Bahkan kalau boleh untuk menarik minat para pelajar untuk melakukan proses penyatupaduan (Zuraini Abdullah 1993).
Kelas Bestari mungkin wujud jika seseorang guru itu melakukan proses pengajaran berbantukan komputer (PBK). PBK sebagai penggunaan komputer dalam menyampaikan bahan pengajaran dengan melibatkan pelajar secara aktif. Pendek kata matlamat PBK ialah untuk mengajar. Mengajar bermakna menyampaikan pengajaran dengan menggunakan program komputer. Terdapat beberapa keistimewaan PBK ialah :
Hubungan Interaktif : Komputer membolehkan wujudnya hubungan diantara rangsangan dengan jawapan. Bahkan menurut Dublin (1984,1996) komputer dapat menumbuhkan inspirasi dan meningkatkan minat.
Pengulangan :Komputer membolehkan pengguna mengulangi apabila perlu untuk memperkuatkan lagi pembelajaran dan memperbaiki lagi ingatan. Dalam pengulangan amat diperlukan kebebasan dan kreativiti daripada pelajar.
Maklumbalas dan Peneguhan : Media komputer membolehkan pelajar memperoleh maklum balas terhadap pelajaran serta merta dan boleh memotivasikan pelajar dengan peneguhan positif yang diberi apabila pelajar memberikan jawapan ( Zuraini Abdullah 1993).
Justeru itu, yang perlu difahami oleh para guru pada hari ini ialah, kita tidak perlu mengajar di sekolah ‘elit’ untuk membolehkan kita mengaplikasikan ICT di sekolah, tetapi dengan berbekalkan komputer riba, kita boleh mengaplikasikan Kelas Bestari di sekolah walaupun sekolah itu terletak jauh di pedalaman.
Dengan berbekalkan teknologi maklumat, pembelajaran dan pengajaran menjadi lebih aktif dan berkesan. Murid-murid dapat diajar mencari maklumat dan ilmu pada bila-bila masa dan di mana sahaja. Cara ini menjadikan sistem pengajaran dan pembelajaran lebih berpusatkan para pelajar.

Guru dapat melakukan kepelbagaian aktiviti dan pendidikan tentang teknologi maklumat dalam pendidikan dapat di beri kepada murid-murid pada peringkat umur seawal yang mungkin dan dapat merapatkan ‘jurang digital’ antara kawasan bandar dan kawasan pedalaman.



BIBLIOGRAFI

Abdullah Hassan 1989. 30 Tahun Perancangan Bahasa Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Abdullah Hassan 1987,Isu-isu Pembelajaran dan Pengajaran Bahasa Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Abdullah Hasan 1996. Isu-isu pembelajaran dan pengajaran Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Abdul Aziz Abdullah 1993. Jurnal Pendidikan, Komputer dalam pendidikan. Media ComIL, Bilangan. 23, Ogos 1993.

Awang Sariyan 1984. Kesalahan umum penggunaan Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Penerbitan Sarjana.

Datuk Hassan Ahmad, 1998, Jurnal Dewan Bahasa September (hlm 624 - 661).
Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka.

Hj. Abdullah b. Md Yatim 1999. Perkembangan internet dan implikasi terhadap suasana pengajaran sekolah. Jurnal Pendidikan Guru. Bil 12/1999. Bahagian Pendidikan Guru, Kementerian Pelajaran Malaysia.
Ismail bin Dahaman, 1996, Pedoman Ejaan Rumi Bahasa Melayu.
Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka.
Md. Sidek Abd Hamid 1993. Jurnal Pendidikan. Penggunaan teknologi maklumat dalam proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Komputer Dalam Pendidikan, Media ComIL, Bilangan. 24, Oktober 1993.

Prof. Madya Dr. Nuraini Yusoff 2003. Dalam buku Abdull Sukor Shaari, Prof. Madya Dr. Nuraini Yusoff, Mohd Isha Awang ‘Bahasa Melayu Komunikasi’. Pahang Darul Makmur: PTS Publications Sdn Bhd.

Raja Masittah Raja Ariffin, 1997, Dewan Bahasa Ogos (hlm 596-604).
Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka.
Roselan Baki 2003. Kaedah pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu. Selangor Darul Ehsan: Karisma Publications Sdn Bhd.

Zuraini Abdullah 1993. Teknologi Maklumat (IT) dan pendidikan. Jurnal Komputer Dalam Pendidikan. Media ComIL, Bilangan. 24, Oktober 1993.

http//:www.staff.iiu.edu.my/mascitah/sistemejaan.doc

http//:www. Infolib.bernama.com/equip-bernama/images/nota_ejaan.pdf

http//:www. www.compserv.sabah.gov.my/nota

http//:www. malay.cri.cn/781/2008/12/22/181s93323.htm

http//:www. myais.fsktm.um.edu.my


















5 comments:

  1. Assalamualaikum, terima kasih di atas segala maklumat yang anda nyatakan. Sememangnya banyak memberi input kepada saya./ Thanks.

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum, Info yang berguna untuk saya buat tugasan. Mohon dihalalkan. Terima kasih

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum,info yang bagus.saya ambil untuk buat tugasan,mohon dihalalkan. terima kasih.

    ReplyDelete
  4. bagus sangat. mohon untuk dikongsi

    ReplyDelete